ULASAN | Menjelang PRN Melaka dan PRU ke-16 selepanya, terdapat satu simbol politik yang tidak boleh dipandang ringan daripada perkembangan Umno dan PAS kebelakangan ini.

PAS hadir di Perhimpunan Agung Umno (PAU), manakala sebelum itu Umno hadir ke Muktamar PAS. Dalam politik, kehadiran mungkin sekadar protokol. Tetapi apabila dua parti yang pernah bersekutu melalui Muafakat Nasional kemudian berpecah dan berada di blok politik berbeza memilih untuk kembali duduk di ruang yang sama, isyarat politiknya jauh lebih besar daripada sekadar kunjungan hormat.

Ia menunjukkan bahawa pintu kerjasama Umno-PAS bukan saja belum tertutup, malah sedang dibuka semula perlahan-lahan.

Berdasarkan ucapan dasar Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno, boleh disimpulkan bahawa ruang kerjasama memang berpotensi. Tetapi harus diakui, ia datang bersama cabaran kerana kedua-dua parti berkongsi segmen pengundi yang hampir sama.

Isyarat itu menjadi lebih signifikan apabila dibaca bersama perkembangan politik semasa.

Muafakat Nasional yang dibentuk pada 2019 tidak bertahan apabila PAS memilih untuk bergerak bersama Bersatu dalam PN, manakala Umno menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan bersama PH.

Hubungan yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai pakatan strategik penyatuan Melayu akhirnya bertukar menjadi persaingan sengit.

Kini, kedua-dua parti mempunyai sebab untuk menilai semula hubungan tersebut.

Paradoks besar dalam persefahaman

PAS dan Umno sedar bahawa mereka berkongsi segmen pengundi yang hampir sama, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu. Dalam sistem pilihan raya satu pusingan, pertembungan dua parti yang berebut kelompok pengundi yang sama boleh menyebabkan undi berpecah dan membuka ruang kepada pihak ketiga. Itu yang berlaku pada PRU ke-15 tempoh hari.

Maka, kehadiran PAS di PAU dan Umno di Muktamar PAS boleh dibaca sebagai pembinaan semula kepercayaan sebelum perbincangan yang lebih substantif mengenai kerjasama pilihan raya.

Di pihak Umno, Ahmad Zahid masih berhati-hati dalam membuka ruang kerjasama. PAS pula mengangkat agenda penyatuan ummah dan kerjasama dengan Umno dalam muktamarnya.

Namun, PAS pada masa sama menegaskan kepentingannya mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU lalu. Di situlah isyarat kerjasama bertemu dengan realiti tawar-menawar kuasa.

Perkembangan di Johor dan Negeri Sembilan menjadikan persoalan itu semakin penting. Di Johor, BN menang 48 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lapan kerusi. Di Negeri Sembilan pula, BN memenangi 18 kerusi dan PN memenangi tujuh kerusi, membolehkan kedua-duanya membentuk kerajaan bersama.

Dua negeri itu memberikan satu pelajaran strategik kepada Umno dan PAS iaitu apabila pertembungan dikurangkan, peluang untuk menguasai lebih banyak kerusi menjadi lebih besar.

Itulah yang sepatutnya diberi perhatian oleh PH menjelang PRU ke-16.

Jika formula sedemikian diterjemahkan ke peringkat parlimen, persaingan tiga penjuru yang selama ini wujud di banyak kawasan boleh berubah menjadi pertandingan yang lebih terarah. Undi yang sebelum ini berpecah antara Umno dan PAS berpotensi diselaraskan, sekali gus mengubah keputusan di kerusi marginal.

Namun, kerjasama Umno-PAS juga mempunyai paradoks besar iaitu siapakah yang sebenarnya lebih memerlukan siapa?

Kegusaran berkongsi segmen pengundi

Umno memerlukan PAS untuk mengelakkan pertembungan dan mendapatkan semula sebahagian sokongan Melayu. PAS pula memerlukan Umno untuk memperluaskan capaian di kawasan yang mempunyai sejarah pengaruh Umno yang lebih kukuh.

Tetapi dari segi kekuatan parlimen, PAS memasuki rundingan dengan kedudukan yang lebih kuat.

Semasa PRU ke-15, PAS memenangi 43 kerusi parlimen berbanding 26 kerusi buat Umno. PH pula memenangi 82 kerusi, PN 74 dan BN 30.

Justeru, kerjasama yang dibina tidak semestinya bermakna Umno kembali menjadi 'abang besar' dalam politik Melayu. Sebaliknya, PAS mungkin mempunyai kuasa tawar-menawar yang lebih besar berbanding ketika Muafakat Nasional dibentuk.

Di sinilah kegusaran terhadap penggabungan atau persefahaman Umno-PAS perlu dizahirkan secara serius. Kerjasama dua parti yang berkongsi segmen pengundi sama boleh mengurangkan pembaziran undi, tetapi pada masa sama berpotensi melahirkan blok politik Melayu yang lebih tersusun dan sukar dipecahkan.

Dalam keadaan itu, PH berdepan dilema yang tidak kurang besar. Persoalannya bukan sekadar bagaimana mempertahankan hubungan dengan rakan-rakan sedia ada, tetapi siapa lagi yang boleh menjadi rakan koalisi yang mampu melengkapkan kekuatan PH di seluruh negara.

Kerajaan Perpaduan memberikan pengalaman bahawa kerjasama antara parti yang pernah menjadi pesaing adalah sesuatu yang mungkin berlaku. Tetapi pilihan raya mempunyai logiknya sendiri. Parti yang boleh bekerjasama di Putrajaya belum tentu bersedia bertolak ansur dalam pembahagian kerusi apabila pilihan raya semakin hampir.

Dilema PH ialah mencari titik keseimbangan antara mengekalkan identiti dan kekuatan terasnya dengan keperluan memperluas jaringan politik.

Jika terlalu bergantung kepada rakan sedia ada, ruangnya mungkin terbatas. Jika terlalu agresif mencari rakan baru, ia pula boleh menimbulkan persoalan mengenai identiti dan hala tuju gabungan.

Namun, di sinilah pentingnya membezakan antara cabaran dengan ketetapan keputusan.

Peluang PH untuk memenangi PRU16 masih terbuka.

Tak ulang formula sama

Keputusan PRN Negeri Sembilan sendiri menunjukkan bahawa PH masih mempunyai sokongan yang signifikan, termasuk 11 kerusi dan lebih 40 peratus undi popular negeri. Kemenangan besar BN di Johor pula tidak semestinya boleh diterjemahkan secara automatik kepada seluruh negara kerana setiap negeri mempunyai struktur pengundi, isu tempatan dan sentimen politik yang berbeza.

Malah, PRU ke-16 masih bergantung kepada banyak pemboleh ubah seperti prestasi kerajaan, keadaan ekonomi, isu semasa, sentimen pengundi Melayu dan bukan Melayu, keupayaan setiap parti mengurus calon serta pembahagian kerusi dan yang paling penting ialah mood pengundi ketika mereka benar-benar berada di peti undi.

Justeru, terlalu awal untuk menganggap Umno-PAS sudah membentuk formula kemenangan. Begitu juga terlalu awal untuk menganggap PH telah kehilangan peluang.

Yang jelas ialah landskap pilihan raya sedang berubah.

Jika Umno dan PAS berjaya menyelesaikan persoalan pembahagian kerusi dan kepimpinan, persaingan PRU ke-16 mungkin tidak lagi menyerupai konfigurasi PRU ke-15.

Sebaliknya, PH perlu memikirkan semula strategi koalisi dan bagaimana memperluas daya tarikan tanpa kehilangan asas sokongan sedia ada.

Akhirnya, kehadiran PAS di PAU dan Umno di muktamar mungkin hanya bermula dengan simbol. Tetapi dalam politik, simbol sering menjadi pendahulu kepada rundingan. Ahmad Zahid juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa PH tidak dijemput dalam PAU.

Ini juga suatu isyarat dan simbol yang boleh difikirkan bersama.

Selepas kegagalan Muafakat Nasional, kedua-dua parti mungkin tidak mengulangi formula lama. Mereka mungkin sedang mencari formula yang lebih pragmatik dimana cukup untuk mengelakkan pertembungan, cukup untuk menyatukan kekuatan tetapi tidak semestinya cukup untuk menjamin siapa yang akan menjadi peneraju.

Jika benar bergabung, konflik akan bermula dengan agihan kerusi dan siapa menjadi calon perdana menteri. Ia memerlukan sokongan majoriti ahli parlimen dan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Umno dan PAS harus bersetuju perkara ini lebih awal.

Di situlah drama sebenar PRU ke-16 bermula. Namun begitu, memahami politik Melayu, kita tidak boleh mempunyai dua nakhoda dalam satu bahtera. Satu bahtera untuk satu nakhoda sahaja. Maka, siapakah yang akan menjadi nakhoda itu?


LUTHFI YUSRI ialah pegawai penyelidik Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.