ULASAN SUKAN | Baru-baru ini pemain skuad badminton negara – baik senior atau remaja – menghadirkan rasa ceria atas pencapaian masing-masing.

Ayam tambahan untuk kategori beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah muncul juara Terbuka Denmark di Odense dan selang seminggu kemudian menjadi naib juara Terbuka Perancis di Jelajah Dunia BWF.

Kemudian giliran pasangan beregu lelaki kita pula, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Mereka yang bergandingan semula selepas ‘perpisahan sementara’ itu gah mengungguli gelaran Terbuka Perancis di Paris pada Ahad lalu untuk merakamkan gelaran keenam dalam Siri Super.

Pada 11 Okt lalu, pasangan beregu lelaki yang baru digandingkan, Aaron Tai dan Yap Roy King, juga memberikan sinaran baru apabila membuat kejutan menjuarai Terbuka Arctic di Vantaa, Finland.

Dalam bulan yang sama juga pasangan muda kita, Low Zi Yu-Genevie Lim menjuarai acara beregu wanita di Kejohanan Remaja Dunia di Kaherah. Ia sekali gus menyaksikan Malaysia menamatkan badi kekalahan dua kali berturut-turut dalam final pada 2024 dan 2025.

Tidak perlu dihuraikan panjang lebar mengenai kejayaan tersebut kerana peminat sudah mengikuti segala berita dan laporan mengenai pencapaian dan keputusan masing-masing.

Perkembangan itu juga membuat penulis terpanggil untuk mengaitkan rentetan kemenangan oleh pemain senior dan remaja kita sepanjang Oktober ini dengan projek Tangkis 2030.

Kena tahu objektif projek

Memang projek diilhamkan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Zafrul Abdul Aziz, pada Ogos tahun lalu itu hadir dengan visi dan misi besar.

Kos perbelanjaan pun harus besar juga – sama dengan impian mahu menepati sasaran yang diletakkan.

Pada pandangan anda, mungkinkah ada sesuatu yang dapat dicapai menjelang 2030 nanti?

Ada yang beranggapan tempoh lima tahun itu agak pendek dan sukar untuk melahirkan jaguh baru dunia, terutama dalam kalangan pemain remaja.

Pada pendapat penulis, projek itu masih akan menaruh harapan ke atas pemain senior bagi memburu pengiktirafan. Tapi pada ketika sama ia mahu membina sekelompok pemain remaja yang boleh mendekati kemampuan ‘abang atau kakak’ mereka itu.

Bagi merealisasikannya, kita mahu barisan remaja cepat matang. Itu saja.

Suka atau tidak, jurang kemampuan antara mereka dengan pemain senior masih wujud.

Sebelum itu, kita juga harus tahu apakah objektif Tangkis 2030.

Sebagaimana pernah dilaporkan sebelum ini, matlamat utama pelan strategik tersebut ialah untuk menjadikan Malaysia sebagai kuasa besar badminton dunia yang mampan.

Ia termasuk sasaran untuk meraih pingat emas pertama Olimpik di Los Angeles 2028 dan juga di Sukan Asia 2030 di Doha, Qatar, diikuti Piala Thomas dua tahun lagi.

Selain itu projek tersebut juga mahu melahirkan pemain atau pasangan beregu untuk menghuni ranking nombor satu dunia dalam sekurang-kurangnya tiga daripada lima kategori.

Tidak ketinggalan Tangkis 2030 menyasarkan reformasi pembangunan akar umbi dan mencari bakat yang berterusan.

Mutiara yang perlu digilap

Ini bererti BAM tidak lagi mahu hanya tertumpu kepada remaja berusia 16 tahun ke atas seperti dilakukan sekarang. Kali ini, badan induk itu mahukan barisan pemain yang jauh lebih muda hadir di akademi kebangsaan.

Usaha itu juga akan mendapat tarikan baru apabila elaun bulanan pemain remaja digandakan.

Marilah kita memulakan buruan sasaran. Selepas lima tahun nanti baru kita meluahkan segala pendapat dan kritikan. Sehingga detik itu tiba, kesabaran memang diperlukan.

Beri ruang kepada pemain muda untuk tumbuh segar dan menepati jangkaan projek berkenaan.

Ada dua pemain remaja – Aaron dan Low – yang menarik perhatian penulis untuk berjaya andai digilap dan diasuh dengan baik oleh pihak pengurusan.

Kedua-duanya sudah menunjukkan kematangan dan membuktikan nilai masing-masing.

Mereka juga juara dalam Kejohanan Remaja Dunia dalam acara beregu lelaki dan wanita. Mereka ada kualiti. Pihak pengurusan jangan sia-siakan bakat besar seperti itu.

Segelintir pemain remaja wanita lain seperti Dania Sofea Zaidi dan Noraqilah Maisarah Ramdan juga ada perwatakan seperti Aaron dan Low.

Ia memberikan nafas lega kerana kita ada bintang yang sedang meningkat.

Mereka hanya perlu sentiasa bersikap rendah diri, rajin berlatih dan sentiasa mahu belajar. Mereka adalah mutiara yang patut digilap untuk bersinar seperti sepatutnya dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Malah apa salahnya – jika boleh – mereka menyinar lebih awal. Setahun lagi, misalnya.

Penting dipastikan berlanjutan

Cuma yang membimbangkan, seperti pada masa-masa lalu, pemain remaja kita garang di pentas peringkat umur. Tetapi, apabila masuk ke skuad senior, ada yang tenggelam begitu sahaja.

Ia mungkin ada kaitan dengan sifat keyakinan diri menyahut cabaran di pentas elit.

Justeru pujian melambung ke atas mereka selepas menjuarai kejohanan perlu dihentikan. Kita tidak mahu mutiara seperti itu pudar dan kejaguhan mereka hanya bersifat sementara.

Faktor mentaliti juga antara punca utama yang mendekatkan kepada realiti itu.

Ini bererti, pengendali Tangkis 2030 ada peranan besar untuk sentiasa menghidupkan api perjuangan dan semangat barisan remaja.

Apa pun, sehingga itu, nama besar seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun, Goh Tze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Pearly-Thinaah masih akan menjadi pertaruhan terbaik negara menjelang 2030 andai mereka terus aktif.

Begitu juga pasangan bekas juara dunia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei dalam acara beregu campuran.

Projek Tangkis 2030 juga dijangka akan berterusan walapun selepas tempoh masanya tamat nanti. Kesinambungannya penting sebagai program jangka panjang untuk melahirkan ramai pemain remaja dan membina mereka menjadi juara dunia.

Mungkin namanya akan ditukar tapi rasa-rasanya objektif akan tetap sama.


V ASHOK ialah bekas pengarang sukan dan pengarang berita luar negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.