ULASAN | Dosa semalam bukan perampas harapan hari esok
ULASAN | Sejadah itu masih terlipat di sudut bilik. Setiap kali ia mahu dibentangkan, ingatan terhadap dosa silam kembali menghantui fikiran.
“Masih layakkah aku memohon keampunan Allah selepas segala kesalahan yang pernah dilakukan?”
Persoalan itu mungkin bermain dalam fikiran seseorang yang sedang bergelut dengan penyesalan. Dia mahu berubah, tetapi rasa bersalah menyebabkan dirinya semakin jauh daripada ibadah dan kehidupan yang lebih baik.
Lebih menyedihkan, dalam dunia media sosial hari ini, kesilapan seseorang mudah dirakam, disebarkan dan dijadikan bahan penghinaan berulang kali.
Walaupun sudah mengakui kesalahan, ada yang terus dihukum masyarakat seolah-olah tiada lagi peluang untuk memperbaiki diri.
Namun, benarkah satu kesilapan bermakna seluruh kehidupan seseorang sudah musnah?
Islam mengajar bahawa manusia tidak terlepas daripada kesilapan. Apa yang lebih penting ialah kesediaan menginsafi perbuatan dan kembali kepada Allah.
Dalam ayat ke-53 surah az-Zumar, Allah berfirman yang bermaksud: “Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.”
Ia membawa mesej pengharapan kepada mereka yang pernah melakukan dosa, tanpa mengira betapa berat kesalahan tersebut.
Cari jawapan untuk keampunan
Namun, harapan terhadap keampunan bukan alasan untuk terus melakukan kesalahan.
Ayat berikutnya menyeru manusia kembali kepada Allah dengan bertaubat dan berserah kepada-Nya.
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa taubat menuntut seseorang meninggalkan dosa, menyesali perbuatannya dan berazam tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Jika kesalahan melibatkan hak manusia, tanggungjawab membetulkan kezaliman itu juga perlu ditunaikan. Wang yang diambil mesti dipulangkan. Fitnah yang disebarkan perlu diperbetulkan.
Kepercayaan yang dikhianati pula memerlukan usaha berterusan untuk dipulihkan.
Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW menceritakan kisah seorang lelaki daripada umat terdahulu yang membunuh 99 orang.
Ketika mencari jalan bertaubat, dia menerima jawapan bahawa tiada keampunan baginya, lalu membunuh seorang lagi sehingga jumlah mangsanya menjadi 100.
Namun, apabila bertemu seorang yang berilmu, individu terbabit diberitahu bahawa pintu taubat untuknya masih terbuka. Lelaki itu dinasihatkan meninggalkan persekitaran buruk dan menuju ke tempat yang dihuni orang soleh.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/10/c33e32b33e8309c79deb85f60a6008d6.jpg)
Walaupun meninggal dunia sebelum tiba di destinasi yang disebutkan, perjalanan taubatnya membawa kepada penerimaan oleh malaikat rahmat.
Kisah itu bukan bermaksud kesalahan terhadap manusia boleh dipandang ringan.
Sebaliknya, ia mengingatkan bahawa perubahan memerlukan kesungguhan meninggalkan kehidupan lama. Kadangkala, seseorang perlu menjauhkan diri daripada rakan yang membawa pengaruh buruk, menghentikan tabiat merosakkan atau mendapatkan bimbingan yang sesuai.
Dari sudut psikologi, terdapat perbezaan antara mengakui kesalahan dengan menganggap diri tidak lagi bernilai.
Ungkapan “saya telah melakukan kesilapan” membuka ruang memperbaiki perbuatan, sebaliknya pemikiran “saya manusia tidak berguna” boleh menyebabkan seseorang semakin terperangkap dalam rasa malu dan putus asa.
Kajian psikologi oleh Juliana Breines dan Serena Chen pada 2012 menunjukkan bahawa pendekatan belas ihsan terhadap diri sendiri boleh meningkatkan motivasi untuk memperbaiki kesalahan.
Itu bukan bermaksud membenarkan perbuatan salah, sebaliknya mengakui kelemahan tanpa kehilangan keberanian untuk berubah.
Penyesalan yang sihat sepatutnya mendorong tindakan, bukannya menghukum diri tanpa penghujung.
Perubahan perlukan masa
Apabila seseorang benar-benar mahu berubah, keluarga dan masyarakat mempunyai peranan penting. Teguran tetap diperlukan, tetapi penghinaan berulang kali hanya menyukarkan proses pemulihan.
Dalam media sosial, kita juga perlu berhati-hati sebelum menyebarkan semula kesalahan silam seseorang semata-mata untuk hiburan. Bagaimanapun, memberi peluang kedua tidak bermaksud mengabaikan hak mangsa atau menutup salah laku yang perlu dipertanggungjawabkan.
Orang yang pernah disakiti berhak menetapkan batas dan memerlukan masa untuk kembali mempercayai seseorang.
Kepercayaan tidak boleh dipaksa. Ia perlu dibina melalui perubahan tingkah laku yang konsisten.
Ada kalanya seseorang sudah berusaha berubah tetapi kembali melakukan kesilapan. Jangan jadikan kegagalan itu alasan untuk terus menyerah. Perbaharui taubat, kenal pasti punca kesalahan dan susun langkah supaya ia tidak berulang.
Mulakan dengan tindakan kecil. Memohon maaf, memulangkan hak orang lain, memperbaiki hubungan keluarga atau kembali menjaga solat, misalnya.
Perubahan mungkin mengambil masa, tetapi setiap usaha yang ikhlas mempunyai makna.
Kepada mereka yang masih dibelenggu dosa silam, jangan biarkan penyesalan menutup seluruh pintu harapan. Sejadah yang lama terlipat masih boleh dibentangkan. Doa yang terhenti masih boleh disambung.
Selagi hayat dikandung badan, masih ada ruang untuk kembali kepada Allah dan memperbaiki kehidupan.
MOHD AFIFUDDIN MOHAMAD ialah pensyarah kanan psikologi dan psikospiritual Islam di Jabatan Kesihatan Komuniti, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/f74d8bf54fed1ed1228f4b0c8c5a19ec.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.