Kuala Lumpur, 16 November 2023 – Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) melancarkan sebuah program pemerkasaan pendidikan untuk murid sekolah rendah, Allianz Eco Quest di Pulau Tuba, Langkawi baru-baru ini.

Projek dua tahun itu – dengan kerjasama Perusahaan Sosial iaitu Incredible Hearts PLT – akan memberi manfaat kepada 75 pelajar Sekolah Kebangsaan Pulau Tuba.

Pelajar, yang berumur dari 10 hingga 12 tahun, akan menumpukan pada pendidikan berasaskan tempat dan eko, disokong oleh pembelajaran berasaskan permainan yang direka khas, untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran sambil menambahkan motivasi mereka terhadap pembelajaran. Selain itu, Allianz Eco Quest juga akan menggabungkan elemen lain seperti perkongsian bacaan untuk meningkatkan literasi dan seni persembahan bagi menyemai kemahiran kolaborasi.

Program ini bertujuan untuk menggalakkan pelajar dan masyarakat Pulau Tuba untuk lebih menghargai alam sekitar mereka, di samping meningkatkan kesedaran mereka terhadap pemuliharaan alam. Pelajar juga akan dibimbing dalam peningkatan kemahiran pembelajaran mereka termasuk literasi, pemahaman, pemikiran kritis dan kemahiran analisis.

Pengerusi Allianz Malaysia Berhad Zakri Khir, yang merasmikan pelancaran Allianz Eco Quest, berkata beliau berharap lebih banyak peluang kejayaan akan dibuka untuk anak-anak Pulau Tuba dengan pembangunan Allianz Eco Quest.

“Terdapat banyak potensi di pulau ini yang boleh dikembangkan dengan syarat kanak-kanak di pulau ini berilmu dan dilengkapi dengan kemahiran bertaraf dunia. Saya yakin, tidak mustahil pulau yang indah ini suatu hari nanti akan terkenal di mata dunia.

“Kami berharap latihan dan program yang disediakan di bawah Allianz Eco Quest dapat menyemai semangat anak muda untuk membangunkan modal insan yang mementingkan pemuliharaan alam sekitar,” kata Zakri.

Projek Allianz Eco Quest terdiri daripada empat tema iaitu Eco-Wellbeing, Eco-Citizen, Eco-Green dan Eco-Leader.

Eco-Wellbeing mengiktiraf hubungan penting antara pembangunan manusia dan persekitaran semula jadi; Eco-Citizen memberi tumpuan kepada tugas seperti mendokumentasikan spesies tumbuhan, memantau fenologi dan perubahan habitat, menjejaki tingkah laku haiwan, dan menyumbang kepada usaha pemuliharaan; Eco-Green memfokuskan pada hubungan rumit antara bumi dan angkasa; dan Eco-Leader merangkumi kepimpinan dan ekopelancongan, mengutamakan pemeliharaan persekitaran semula jadi, sejarah dan promosi amalan mampan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat tempatan.

Allianz Eco Quest adalah kesinambungan daripada Projek Perintis Program Eko-Pendidikan Dan Literasi Sekolah Belantara, projek perintis selama enam bulan melibatkan 40 pelajar sekolah rendah berumur antara 10 hingga 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan Pulau Tuba.


Artikel ini disediakan oleh Allianz Malaysia Berhad

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.