Siri rundingan bersama dengan Rakan Dialog yang  berlangsung pada hari terakhir mesyuarat 19th ASEAN Ministerial Meeting on  Transnational Crime (19th AMMTC) di Melaka menutup tirai mesyuarat dengan  penegasan komitmen ASEAN untuk memperkukuh kerjasama keselamatan serantau. 

Dalam 15th AMMTC + 3 Consultation yang dipengerusikan oleh Malaysia bersama  dengan China, Jepun dan Republik Korea, fokus khusus diberikan kepada ancaman  jenayah siber dan penipuan dalam talian. Isu pengurusan sempadan dan imigresen  turut menjadi agenda utama, dengan penekanan kepada keperluan untuk memperluas  kerjasama praktikal di lapangan. 

Mesyuarat
12th AMMTC + China Consultation yang dipengerusikan bersama Malaysia  dengan China pula mengangkat kepentingan pelaksanaan penuh SOMTC + China  Work Plan (2024–2028). Mesyuarat ini dipengerusikan secara bersama oleh YB Datuk  Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri dan TYT Wang Zhizhong,  Vice Minister of Public Security dan Commissioner of National Immigration  Administration, Republik Rakyat China. 

Pada masa sama,
10th AMMTC + Japan Consultation meneguhkan komitmen ASEAN  dan Jepun melalui SOMTC + Japan Work Plan on Cooperation to Combat  Transnational Crime (2023–2027). Mesyuarat ini dipengerusikan secara bersama oleh  TYT Goh Pei Ming, Minister of State for the Ministry for Home Affairs Singapore, dan  TYT Manabu Sakai, Chairman of the National Public Safety Commission, Jepun. 

Sementara itu,
6th AMMTC + ROK Consultation menyaksikan ASEAN dan Republik  Korea menyambut baik penggubalan SOMTC + ROK Work Plan (2026–2028), yang  sejajar dengan ASEAN-ROK Joint Vision Statement for Peace, Prosperity and  Partnership. Mesyuarat ini dipengerusikan secara bersama oleh Pol.Maj.Gen.Voravat  Amornvivat, Deputy Commissioner of Special Branch, Royal Thai Police, Thailand,  dan TYT Jin Soo Lee, Vice Minister of Justice, Republik Korea. 

Kesemua rundingan ini menekankan kepentingan untuk memperkukuh kerjasama  penguatkuasaan undang-undang, meningkatkan pertukaran maklumat, membina  kapasiti serantau dan bersedia menghadapi ancaman baharu yang lebih kompleks.  Keempat-empat mesyuarat menghasilkan kenyataan bersama yang menggariskan  haluan konkrit untuk memperkukuh kerjasama ASEAN–Rakan Dialog dalam  pembanterasan jenayah rentas sempadan. 

Secara keseluruhannya, ASEAN mencatatkan pencapaian penting apabila para  Menteri dan Setiausaha Agung ASEAN yang bersidang dalam 19th AMMTC mencapai  persetujuan untuk terus memperkasakan kerjasama keselamatan serantau.  Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Malaysia ini menyaksikan pengesahan ASEAN  Plan of Action in Combatting Transnational Crime (2026–2035) iaitu dokumen yang  akan menjadi panduan utama ASEAN bagi mendepani cabaran jenayah rentas  sempadan sepanjang dekad mendatang. Pengesahan ini menandakan komitmen  kolektif ASEAN untuk bergerak seiring dengan landskap ancaman yang semakin  kompleks. 

 Selain itu, mesyuarat turut bersetuju menubuhkan Kumpulan Kerja SOMTC mengenai  pengubahan wang haram sebagai wadah baharu untuk memperkukuh usaha serantau  bagi menangani jenayah kewangan. Tidak kurang penting, ASEAN
Border  Management Cooperation Roadmap turut diluluskan bagi memperkemas kerjasama  rentas sektor dalam urusan imigresen dan kawalan sempadan.

Beberapa deklarasi penting turut diumumkan, termasuk Melaka
Declaration on  Combatting Transnational Crime, serta deklarasi ASEAN bagi menangani  penyeludupan manusia serta jenayah siber dan penipuan dalam talian. Para menteri  juga memperakukan tiga ASEAN Leaders’ Declaration yang menekankan usaha untuk  membanteras pengubahan wang haram, kerjasama penangkapan penjenayah  buruan, dan inisiatif penggunaan sukan sebagai alat untuk membina ketahanan  masyarakat terhadap ekstremisme. Ketiga-tiga ASEAN Leaders’ Declaration tersebut  akan diangkat kepada peringkat Pemimpin sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN ke-47  pada Oktober 2025 nanti. 

Selain itu, mesyuarat juga bersetuju untuk melanjutkan ASEAN Plan of Action to  Prevent and Counter the Rise of Radicalisation and Violent Extremism (2018–2025)  dan Bali Work Plan (2019–2025) sehingga tahun 2026. Kedua-dua dokumen ini  merupakan kerangka penting bagi usaha serantau bagi mencegah radikalisasi serta  menyelaras tindakan rentas sektor dan rentas sempadan untuk menangani ancaman  ekstremisme ganas di rantau ASEAN. 

Dengan pencapaian ini, AMMTC bukan sahaja menilai pencapaian sedekad yang  lepas, tetapi membuka bab baharu yang lebih komprehensif, membuktikan tekad  rantau ini untuk terus berada di barisan hadapan dalam pembanterasan jenayah  rentas sempadan yang semakin mencabar. 

Penyerahan simbolik kepengerusian kepada Filipina, yang akan menerajui AMMTC  pada tahun 2026 menjadi acara penutup tirai mesyuarat rasmi. Para menteri  menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas penganjuran mesyuarat yang lancar  dan berkesan, yang berlangsung dalam semangat perpaduan dan persaudaraan  ASEAN.


Kandungan ini disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my