ASEAN dan China bakal menjalankan latihan maritim buat julung kali bagi meningkatkan kerjasama keselamatan di Laut China Selatan, sekali gus menegaskan komitmen bersama terhadap keamanan serta kebebasan pelayaran di kawasan itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, latihan tersebut bukan kerjasama dua hala antara Malaysia dengan China sebaliknya program kolektif membabitkan Asean dan China.

“Malaysia tidak mempunyai latihan bilateral dengan China kerana baru-baru ini saya telah mengadakan pertemuan rasmi dengan mereka. 

“Latihan yang akan datang ini adalah antara ASEAN dan China, bukan antara dua negara,” katanya

Menurut beliau, penganjuran latihan seperti itu sama ada dengan China atau negara lain mencerminkan pendirian ASEAN yang mengamalkan pendekatan neutral dalam aspek keselamatan dan pertahanan.

“ASEAN berhak menjalankan latihan dengan sesiapa sahaja selagi mereka menyokong bahawa kawasan ini wajar kekal aman dan menghormati hak untuk melalui perairan ini secara bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-19 (ADMM) dan ADMM-Plus ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Mohamed Khaled meninjau persiapan sempena Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN ke-19 (ADMM) dan Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN Tambahan ke-12 (ADMM-PLUS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)

Bagaimanapun, Mohamed Khaled mengakui wujud kebimbangan mengenai cabaran keselamatan di Laut China Selatan yang perlu ditangani secara bersama selepas terdapat peningkatan aktiviti ketenteraan China yang semakin meningkat di kawasan itu.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh mengawal tingkah laku mana-mana negara sama ada kuasa besar atau jiran serantau, namun hubungan konsisten dan saluran diplomasi terbuka adalah kunci untuk mengurangkan risiko serta membina kepercayaan.

“Kita tidak boleh mengawal bagaimana sesebuah negara bertindak, tetapi kita boleh memilih untuk berhubungan dengan mereka. 

“Melalui hubungan ini kita dapat berbincang mengenai perbezaan, dan lebih penting, membina kepercayaan. 

“Kepercayaan bukan sahaja penting untuk Malaysia, tetapi juga bagi China untuk meyakini Malaysia,” katanya.

Mohamed Khaled mengakui wujud kebimbangan mengenai cabaran keselamatan di Laut China Selatan

Beliau turut menjelaskan Malaysia secara terbuka mengakui cabaran yang wujud di Laut China Selatan melalui Kertas Putih Pertahanan, dan tidak mahu berpura-pura seolah-olah tiada perkembangan membimbangkan di kawasan itu.

“Kita tidak mahu mengatakan semuanya baik-baik sahaja dan kemudian terkejut apabila sesuatu berlaku. 

“Kita perlu bersikap realistik dan jujur mengenai cabaran tersebut,” katanya.

Justeru, dalam konteks itu jelas beliau, sebarang cabaran yang timbul di Laut China Selatan tidak boleh dipikul oleh satu negara sahaja 

Menurut Mohamed Khaled, sebaliknya ia memerlukan pendekatan bersama ASEAN yang konsisten dan seimbang.

“Cabaran yang dihadapi mana-mana negara ASEAN di kawasan ini adalah cabaran bersama. Sebab itu kita bercakap tentang keseimbangan ASEAN. 

“Negara luar yang datang ke kawasan ini perlu melihat bahawa mereka tidak berurusan dengan satu negara, tetapi ASEAN sebagai satu blok,” katanya.