Setiap tahun, ribuan pemilik rumah di seluruh Malaysia terlibat dalam projek pembinaan dan pengubahsuaian, menunjukkan permintaan yang semakin tinggi dalam sektor perumahan negara. 

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor pembinaan mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 10.6 peratus pada suku ketiga 2025, dengan nilai kerja mencecah berbilion ringgit. 

Namun, di sebalik pertumbuhan memberangsangkan itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berdepan cabaran konsisten—purata 600 aduan berkaitan pembinaan dan pengubahsuaian rumah diterima setiap tahun sejak tujuh tahun lalu. 

Bagi pemilik rumah, isu ini bukan sekadar menjejaskan nilai hartanah, tetapi turut mencetuskan tekanan kewangan dan emosi kepada keluarga yang mengimpikan kediaman selesa dan selamat.

Menyedari kepentingan isu ini, CIDB memperkenalkan program “Jom Bina Sempurna”, sebuah inisiatif komprehensif yang menyediakan maklumat, panduan dan kesedaran keselamatan kepada pemilik rumah serta kontraktor.

Program ini dilancarkan secara pra-pelancaran oleh Zainora Zainal, Ketua Eksekutif CIDB, di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur, menandakan permulaan usaha baharu meningkatkan keyakinan pengguna terhadap industri pembinaan negara.

Aduan pembinaan dan ubah suai rumah

Menurut Zainora, sebanyak 3,201 aduan pembinaan dan pengubahsuaian rumah direkodkan dalam tempoh tujuh tahun –termasuk 564 aduan pada tahun 2024 dan 367 aduan setakat Oktober 2025 menjadikannya antara aduan tertinggi diterima CIDB.

Zainora Zainal, Ketua Eksekutif CIDB

Beliau mengingatkan bahawa proses memperbaiki atau membina rumah boleh menimbulkan pelbagai komplikasi sekiranya tidak disertai ilmu yang tepat.

Daripada jumlah keseluruhan aduan, kategori tertinggi adalah:

  • Pelanggaran kontrak: 130 kes

  • Mutu kerja tidak memuaskan: 86 kes

  • Kontraktor tidak berdaftar: 50 kes

  • Gangguan: 22 kes

  • Ketidakpatuhan keselamatan: 20 kes

  • Tunggakan pembayaran: 18 kes

  • Bahan binaan tidak mengikut standard: 17 kes

Daripada segi lokasi, Selangor mencatatkan jumlah aduan tertinggi dengan 107 kes, menunjukkan negeri ini menghadapi cabaran paling besar berkaitan pembinaan dan pengubahsuaian rumah. Diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 55 kes, Johor sebanyak 46 kes, manakala negeri-negeri lain seperti Sabah, Perak, dan Pahang masing-masing catat 21 aduan. 

Zainora menekankan bahawa angka ini hanya mencerminkan sebahagian daripada keseluruhan isu sebenar kerana banyak kes lain turut diselesaikan melalui Tribunal Tuntutan Pengguna, wakil rakyat, atau tular di media sosial, menjadikan pemahaman sebenar mengenai cabaran dalam industri pembinaan lebih kompleks dan luas.

Memperkasa ekosistem pembinaan

Walaupun isu pembinaan turut tertakluk kepada peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan profesional seperti Lembaga Arkitek Malaysia (LAM), Zainora menegaskan bahawa CIDB tetap komited untuk mendidik orang awam agar lebih celik dan berhati-hati sebelum memulakan projek.

“CIDB bukan sahaja menguatkuasakan Akta 520 demi melindungi kepentingan awam, malah kami memastikan pengguna mendapat akses kepada maklumat tepat sebelum memulakan projek pembinaan atau ubah suai,” katanya.

Sejak 2013, CIDB memperkenalkan program CIDB National Renovation Contractors (CNAR), diikuti pelancaran CIDB Standard Form of Contract for Renovation and Small Projects pada 2022 – kontrak mudah difahami yang melindungi kedua-dua pemilik rumah dan kontraktor.

Dua komponen utama program “Jom Bina Sempurna”

Program baharu ini menampilkan dua komponen teras yang memudahkan pemilik rumah mengakses maklumat tepat dan relevan:

  • Info Hub Jom Bina Sempurna – pusat rujukan dalam talian merangkumi tips dan panduan untuk pemilik rumah serta kontraktor, himpunan 100 soalan lazim, direktori (PBT) seluruh negara, serta akses kepada Borang Kontrak CIDB.

  • Facebook Page Rasmi “Jom Bina Sempurna” – platform digital yang menyampaikan kandungan mudah faham seperti infografik, video dan perkongsian berkaitan pembinaan serta pengubahsuaian rumah.

Inisiatif tingkat literasi pembinaan

Bagi membantu masyarakat memahami proses pembinaan serta cabaran pemilik rumah dengan lebih praktikal, CIDB turut menjalin kerjasama dengan Mahanom Mohammad, seorang pempengaruh media sosial, kontraktor bertauliah, penerima Anugerah MCIEA 2016 dan 2017, serta penulis lapan buku termasuk “Bina Rumah Sempurna”.

Melalui kerjasama rasmi ini, kepakaran dan pengalaman luas Mahanom, termasuk peranannya melatih kontraktor kecil sejak 2018, menjadi komponen utama dalam memperkukuh usaha CIDB menyampaikan maklumat pembinaan secara lebih jelas, praktikal dan mudah difahami oleh orang ramai.

Seiring pelaksanaan program ini, CIDB turut merancang memperluas kandungan digital, memperkenalkan lebih banyak platform interaktif serta membangunkan aplikasi khusus bagi memudahkan orang awam mendapatkan panduan berkaitan pembinaan dan ubah suai rumah. Kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, badan profesional, persatuan industri dan PBT juga akan diperkukuh bagi memastikan penyampaian maklumat yang lebih menyeluruh.

Melalui inisiatif ini, Zainora berharap masyarakat lebih berpengetahuan dan bersedia sebelum memulakan projek pembinaan rumah – sekali gus mengurangkan risiko penipuan serta memastikan mutu kerja yang lebih baik. Dengan panduan yang lebih jelas, saluran maklumat yang tersusun, serta sokongan daripada pakar industri, CIDB yakin pengguna kini lebih bersedia membuat keputusan yang tepat – dan mengelakkan kerugian yang selama ini menghantui banyak keluarga di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai program Jom Bina Sempurna, layari laman rasmi CIDB dan ikuti Facebook rasmi CIDB untuk kemas kini program dan panduan bina rumah.