KPJ Healthcare Lancar Pusat Kecemerlangan Neurosains dan Strok Pertama di bawah KPJ Health System
KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare” atau “Kumpulan”) hari ini melancarkan Pusat Kecemerlangan Neurosains dan Strok (“CoE”) pertamanya di Damansara Specialist Hospital 2 (“DSH2”), yang merupakan Pusat Kecemerlangan kedua di bawah Sistem Kesihatan KPJ (“KPJHS”), sekali gus memperluaskan keupayaan kepakaran Kumpulan dalam pengurusan kes berkaitan neurologi dan strok yang kompleks.
Penubuhan Pusat Kecemerlangan Neurosains dan Strok ini memperkukuh pelaksanaan KPJHS dengan memperluaskan laluan rawatan klinikal berstruktur ke dalam bidang kepakaran berakuiti tinggi yang memerlukan koordinasi pantas merentasi rawatan kecemasan, pengimejan, rawatan rapi serta rehabilitasi. Perkembangan ini mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan dalam memperkukuh perkhidmatan kepakaran sambil memastikan standard penjagaan yang konsisten di seluruh rangkaian hospitalnya.
Pusat ini menghimpunkan pasukan multidisiplin merangkumi bidang neurologi, pembedahan saraf, perubatan kecemasan, radiologi, rawatan rapi dan rehabilitasi dalam satu sistem penjagaan yang bersepadu bagi menangani kecemasan neurologi. Model bersepadu ini membolehkan proses membuat keputusan yang lebih pantas, intervensi yang tepat pada masanya serta kesinambungan penjagaan sepanjang fasa kritikal rawatan dan pemulihan strok.

Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) dan Pengerusi KPJ Healthcare University berkata, “Penubuhan Pusat Kecemerlangan ini merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha kami untuk membangunkan Sistem Kesihatan KPJ sebagai satu ekosistem bersepadu menyeluruh yang menghubungkan hospital, pendidikan dan penyelidikan. Dengan memperkukuh protokol klinikal, memacu inovasi serta terus berpandukan amalan terbaik peneraju global, kami sedang membina satusistem yang mampumemberikan hasil rawatan yang lebih baik kepada pesakit di samping kekal bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. Aspirasi kami adalah jelas: memastikan KPJ Healthcare bukan sahaja sejajar dengan piawaian global malah terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara institusi yang membentuk masa depan penjagaan kesihatan di rantau ini.”
Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, “Pusat ini memperkukuh keupayaan operasi kami dalam menguruskan kecemasan neurologi yang kompleks melalui satu rangka kerja sistem penjagaan yang bersepadu. Dengan menggabungkan kemudahan klinikal khusus, kepakaran perubatan serta tadbir urus yang tersusun, kami dapat memastikan intervensi yang tepat pada masanya dan kesinambungan penjagaan selaras dengan komitmen Care for Life.”
Pusat Kecemerlangan di DSH2 menyediakan sistem pengurusan strok bersepadu yang bermula daripada pengaktifan segera di Jabatan Kecemasan, diikuti intervensi hiperakut, penjagaan kritikal serta rehabilitasi awal yang berstruktur. Pusat ini menyediakan akses 24 jam kepada kemudahan pengimejan CT dan MRI berteknologi tinggi, selain perkhidmatan trombektomi mekanikal bagi membuang bekuan darah dalam kes strok akut. DSH2 juga telah mencapai masa door-to-needle trombolisis dalam tempoh 60 minit bagi pesakit yang layak, iaitu rawatan untuk melarutkan bekuan darah, melalui aliran kerja hiperakut yang diselaraskan mengikut penanda aras antarabangsa.

Pusat ini melaksanakan penjagaan strok dan rawatan rapi yang berteraskan protokol serta selaras dengan perubatan berasaskan bukti dan piawaian Mayo Clinic Care Network (“MCCN”), termasuk penerapan rangka kerja rawatan rapi CERTAIN (“Checklist for Early Recognition and Treatment of Acute Illness and Injury”) bagi menyokong aliran kerja ICU yang diseragamkan serta pemantauan klinikal yang berstruktur dalam pengurusan kecemasan neurologi yang kompleks termasuklah strok. Melalui keahlian MCCN, DSH2 turut mempunyai akses kepada sumber penanda aras klinikal serta perkongsian pengetahuan yang menyokong penambahbaikan kualiti secara berterusan dalam rawatan strok dan neurologi.
Perkhidmatan pemulihan atau rehabilitasi bermula seawal fasa akut dan melibatkan program neurorehabilitasi yang disesuaikan mengikut keperluan setiap pesakit, disokong oleh penilaian klinikal yang seragam, makmal Activities of Daily Living (“ADL”) khusus serta terapi robotik bagi menyokong pemulihan fungsi dan meningkatkan keupayaan berdikari dalam jangka panjang. Jururawat Navigator Strok yang khusus turut bertindak sebagai penyelaras utama untuk pesakit dan keluarga, memastikan kesinambungan penjagaan bermula daripada kemasukan kecemasan, sepanjang proses rehabilitasi sehingga susulan selepas pesakit discaj.
Selain rawatan strok akut, Pusat ini turut memperkukuh keupayaan subkepakaran dalam pengurusan gangguan pergerakan dan penyakit Parkinson, disokong oleh kepakaran neurologi dan pembedahan saraf serta keupayaan masa hadapan bagi prosedur Deep Brain Stimulation. Ciri-ciri SMART Ward dan integrasi digital berasaskan PACS turut menyokong pemantauan masa nyata, dokumentasi klinikal serta penyelarasan rawatan secara multidisiplin.
Rangka kerja CoE ini berperanan sebagai model rujukan bagi pembangunan perkhidmatan neurologi dan strok di seluruh rangkaian hospital KPJ. Selain perkhidmatan klinikal, pusat ini turut menyokong inisiatif pendidikan dan latihan yang berstruktur serta menyumbang kepada penyelidikan klinikal dalam bidang neurologi dan pengurusan strok di bawah KPJHS. Pusat ini juga menyokong pembangunan berterusan penyelesaian penjagaan strok berasaskan digital melalui kerjasama dengan KPJ Healthcare University, sekali gus memperkukuh komitmen Kumpulan dalam memacu inovasi dalam penjagaan neurologi.
Pelancaran ini merupakan sebahagian daripada pelan hala tuju KPJ Healthcare untuk menubuhkan 15 Pusat Kecemerlangan menjelang 2030 di bawah KPJHS.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/03/ce6e64d68d408da49132b5cfe02bdfe5.jpg)
