Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 34 lebuh raya di seluruh negara dilengkapi teknologi Lebuh Raya Pintar (Smart Highway) bagi meningkatkan keselamatan, kecekapan dan kemampanan sistem pengangkutan negara.

Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, berkata sasaran itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan sistem pengangkutan pintar bagi melancarkan aliran trafik serta menambah baik pengalaman perjalanan rakyat ketika berucap pada Sesi Meja Bulat Peringkat Tinggi sempena Kongres Dunia Sistem Pengangkutan Pintar (ITS World Congress) 2026 hari ini.

Inisiatif Lebuh Raya Pintar merangkumi CCTV pintar, sistem pengesanan dan amaran awal insiden berisiko tinggi termasuk kemalangan, pencahayaan berasaskan tenaga solar, aplikasi mobiliti digital serta infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV). Malaysia turut mengutamakan pembangunan Pusat Pengurusan Trafik Pintar Kebangsaan (NITMC) bagi memperkukuh pemantauan masa nyata, analisis data bersepadu dan penyelarasan pengurusan trafik.

Satu lagi komponen utama ialah Sistem Kutipan Tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (Multi-Lane Free Flow – MLFF), yang membolehkan kenderaan melalui lokasi kutipan tol tanpa perlu berhenti di palang, sekali gus mengurangkan kesesakan dan menjimatkan masa perjalanan.

Bagi merealisasikan pelaksanaan MLFF, Kerajaan mengambil pendekatan terancang dan berhati-hati dengan memberikan ruang kepada syarikat konsesi serta rakan industri untuk memperhalusi model pelaksanaan secara Business-to-Business (B2B) di bawah kawal selia Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), selaras dengan keputusan Kerajaan.

Pendekatan ini mengambil kira daya maju teknologi dan komersial, kebolehoperasian antara sistem, integrasi pembayaran, keselamatan data, keperluan perundangan dan penguatkuasaan serta perlindungan kepentingan pengguna. Tumpuan kini diberikan kepada pemuktamadan persediaan teknikal, operasi dan kerangka undang-undang sebelum dikemukakan untuk pertimbangan serta kelulusan muktamad Kerajaan.

Menurut beliau, AI akan menyokong pengecaman kenderaan, pemprosesan maklumat dan pengurusan transaksi apabila MLFF dilaksanakan kelak. Pelaksanaannya bertujuan memberikan manfaat yang signifikan tanpa membebankan rakyat.

Dalam penyampaian perkhidmatan, MYJalan 2.0 turut diperkasakan melalui fungsi penukaran pertuturan kepada teks (Speech-to-Text) berasaskan AI, pemantauan status aduan dan integrasi maklumat merentas agensi, selaras dengan pendekatan No Wrong Door Kementerian Kerja Raya (KKR).

Kesemua inisiatif ini mendukung Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030 berteraskan aspirasi “ITS untuk Semua” bagi memastikan kemajuan teknologi diterjemahkan kepada perjalanan yang lebih selamat, lancar, inklusif dan mampan.

Selain menyertai kongres, YB Dato’ Sri Alexander turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Timbalan Menteri Kedua Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Republik Korea (MOLIT), Jeong Eui-kyung, bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan infrastruktur, teknologi pembinaan dan sistem pengangkutan pintar.

Malaysia berhasrat memperluas kerjasama tersebut melalui kerangka Memorandum Persefahaman (MoU) bagi tempoh lima tahun, meliputi perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi dan pembangunan keupayaan dalam bidang ITS, sistem tol pintar, pengurusan trafik bersepadu, pembinaan mampan serta penyelenggaraan jalan raya.

Pengalaman Republik Korea dalam ITS dan kutipan tol elektronik boleh dimanfaatkan untuk menyokong penelitian serta pembangunan ekosistem MLFF yang bersesuaian dengan keperluan operasi lebuh raya Malaysia. Kerjasama ini turut menumpukan penerokaan penyelesaian praktikal dengan hasil yang boleh diukur.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perasmian Kongres Dunia ITS Ke-32 di Pusat Konvensyen Gangneung bersama wakil peringkat menteri dan timbalan menteri dari 13 negara, wakil organisasi antarabangsa, pemimpin industri serta pakar teknologi global.

Kongres yang berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober 2026 dengan tema “Beyond Mobility, Connected World” dijangka menghimpunkan kira-kira 60,000 peserta dari sekitar 90 negara untuk membincangkan inovasi serta hala tuju pengangkutan pintar.

Penyertaan Malaysia memperkukuh jaringan antarabangsa bagi menyokong transformasi digital infrastruktur jalan raya. KKR komited melaksanakan transformasi ini secara progresif, berhemah dan berpaksikan kepentingan pengguna, di samping meningkatkan daya saing negara.

Sumber : Kementerian Kerja Raya (KKR)


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my