Pendengaran yang baik memainkan peranan penting dalam proses pembelajaran, komunikasi dan interaksi pelajar dengan persekitaran mereka. Namun begitu, aspek kesihatan pendengaran sering kurang diberi perhatian, khususnya dalam kalangan golongan muda yang mungkin tidak menyedari tanda-tanda awal masalah pendengaran.

Bagi menangani isu ini, KPJ Healthcare Berhad ("KPJ Healthcare" atau "Kumpulan"), Sistem Kesihatan Akademik Swasta pertama di Malaysia, hari ini melancarkan secara rasmi KPJ Sound of Hope, sebuah inisiatif jangkauan sekolah yang bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan menjaga kesihatan pendengaran serta menggalakkan amalan penjagaan pendengaran yang baik sejak usia muda.

Pelajar mengikuti sesi interaktif kesedaran kesihatan pendengaran serta menjalani pemeriksaan telinga yang dikendalikan oleh pakar audiologi KPJ sebagai sebahagian daripada program KPJ Sound of Hope.

Program ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 4,500 pelajar di 15 sekolah menengah kebangsaan di Selangor, Johor, Sabah, Pahang dan Pulau Pinang, dengan membawa pendidikan kesihatan pendengaran dan pemeriksaan asas telinga terus ke persekitaran sekolah.

Dilancarkan secara rasmi di SMK Subang Utama, Selangor, program ini mula dilaksanakan pada September 2026 dan akan berlangsung sehingga April 2027.

Menerusi sesi interaktif bertemakan Protect Your Hearing Now, pakar audiologi KPJ Healthcare berkongsi pengetahuan mengenai amalan pendengaran yang selamat, risiko pendedahan berpanjangan kepada bunyi yang kuat serta tanda-tanda awal masalah pendengaran. Sesi ini dirangka dalam pendekatan yang mudah difahami dan relevan dengan kehidupan pelajar, sekali gus menggalakkan amalan harian yang dapat membantu melindungi pendengaran mereka dalam jangka panjang.

Selain pendidikan kesihatan, pelajar terpilih turut menjalani pemeriksaan asas telinga melalui Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) Mobile Clinic. Pemeriksaan yang dikenali sebagai otoskopi ini membolehkan petugas kesihatan menilai keadaan saluran telinga dan gegendang telinga serta mengenal pasti sebarang keadaan yang memerlukan penilaian lanjut.

Prof. Dato' Dr. Hanafiah Harunarashid, Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare berkata, penjagaan kesihatan tidak seharusnya bermula hanya apabila seseorang menjadi pesakit.

"Lazimnya, apabila kita bercakap tentang penjagaan kesihatan, kita hanya tertumpu kepada rawatan penyakit. Namun, kadangkala perubahan yang besar bermula dengan perkara yang lebih sederhana, seperti membantu seorang kanak-kanak memahami kepentingan menjaga pendengaran mereka."

Beliau berkata, bagi pelajar, keupayaan pendengaran mempunyai hubungan rapat dengan proses pembelajaran, komunikasi dan interaksi sosial.

"Masalah pendengaran yang tidak disedari boleh memberi kesan kepada pengalaman harian mereka. Melalui Sound of Hope, kami mahu mendekati golongan muda lebih awal, membantu mereka membentuk tabiat pendengaran yang sihat serta menggalakkan mereka mendapatkan bantuan apabila merasakan sesuatu yang tidak normal. Di KPJ, tanggungjawab kami tidak terhad kepada rawatan yang diberikan di hospital. Melalui KPJ Health System, kami berusaha membawa kepakaran perubatan lebih dekat kepada komuniti, khususnya dalam aspek kesedaran awal dan intervensi yang mampu memberi impak bermakna kepada kehidupan masyarakat. Inilah yang dimaksudkan dengan Care for Life, menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses dan membantu masyarakat menjalani kehidupan yang lebih sihat."

Mohd Khairul Izzad Bin Mohammed Shamsudin, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) KPJ Healthcare Berhad, bersama plak kenangan dan sijil yang menandakan pelancaran rasmi program KPJ Sound of Hope.

Diterajui oleh pasukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) KPJ Healthcare bersama Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) serta disokong oleh hospital-hospital KPJ yang terlibat, program KPJ Sound of Hope dilaksanakan dengan kerjasama JLG REIT Managers Sdn. Bhd.

Komitmen KPJ Healthcare terhadap kesihatan pendengaran turut merangkumi usaha memperluaskan akses penjagaan kesihatan yang inklusif kepada komuniti Pekak dan kurang pendengaran. Melalui kerjasama dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dan Hear Me Malaysia, KPJ telah menyokong pelbagai inisiatif melibatkan keluarga yang mempunyai anak pekak, program pembangunan belia pekak serta aktiviti kesihatan komuniti.

Di rangkaian hospital KPJ, Tawakkal Specialist Hospital, Ampang Puteri Specialist Hospital dan KPJ Klang Specialist Hospital telah mencapai keupayaan mesra bahasa isyarat pada Tahap 1 Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), satu langkah penting ke arah memperkukuhkan komunikasi antara petugas kesihatan dan pesakit Pekak.

Bagi pesakit yang bergantung kepada bahasa isyarat, keupayaan untuk menerangkan simptom, memahami nasihat perubatan serta terlibat secara aktif dalam membuat keputusan berkaitan rawatan mereka mampu meningkatkan pengalaman penjagaan kesihatan secara menyeluruh.