Westports, JKR Klang tingkat keselamatan jalan raya di Pulau Indah
Westports Malaysia (Westports) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi meningkatkan keselamatan jalan raya di sepanjang Jalan FT181, antara laluan utama yang menghubungkan Pulau Indah dengan Pelabuhan Klang.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan berkata, inisiatif itu mencerminkan kerjasama sektor awam dan swasta dalam menambah baik infrastruktur jalan raya, mengutamakan keselamatan pengguna serta mewujudkan persekitaran perjalanan yang lebih selamat untuk komuniti setempat.
Menteri Kerja Raya, Dato' Sri Alexander Nanta Linggi berkata usaha meningkatkan keselamatan jalan raya perlu dilaksanakan secara berterusan bagi melindungi pengguna daripada risiko kemalangan.
“Di sebalik setiap angka kemalangan, terdapat keluarga dan kehidupan yang terkesan. Justeru, usaha melindungi pengguna jalan raya perlu dilaksanakan secara berterusan, tanpa menunggu tragedi seterusnya,” katanya ketika merasmikan inisiatif berkenaan.
Menurut Laporan Kelestarian Westports 2025 yang dirujuk dalam kenyataan itu, sebanyak 1,185 kemalangan jalan raya direkodkan di Lebuhraya Pulau Indah pada 2024 sebelum menurun kepada 1,068 kes pada 2025.
Pulau Indah merupakan antara pusat perindustrian dan logistik penting yang menyokong aktiviti perdagangan antarabangsa Malaysia. Westports telah beroperasi di kawasan itu sejak 1994 dan berkembang seiring dengan pembangunan perindustrian, aktiviti logistik serta komuniti setempat.
Menurut kenyataan itu, Persatuan Pengusaha Haulier Malaysia memaklumkan lebih 12,000 lori kontena menggunakan Lebuhraya Pulau Indah setiap hari. Sementara itu, berdasarkan maklumat yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor pada tahun lalu, jalan-jalan utama yang menghubungkan Pelabuhan Klang menampung kira-kira 70,000 hingga 80,000 kenderaan sehari.
Nanta berkata Pulau Indah mempunyai aliran trafik yang melibatkan kenderaan berat, kereta dan motosikal, sekali gus memerlukan infrastruktur yang dapat menyokong aktiviti ekonomi serta menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Keadaan ini memerlukan infrastruktur jalan yang dapat menyokong kelancaran aktiviti ekonomi serta menjamin keselamatan semua pengguna, khususnya penunggang motosikal yang lebih terdedah kepada risiko kecederaan,” katanya.
Inisiatif keselamatan jalan raya itu melibatkan pemasangan dan penaiktarafan kemudahan terpilih, termasuk penghadang bukaan kecemasan, paku jalan, jalur gegar, papan tanda amaran, kelengkapan jalan raya dan infrastruktur keselamatan lain yang dikenal pasti melalui penilaian teknikal JKR.
Menurut Nanta, pemasangan kemudahan berkenaan dapat meningkatkan keterlihatan dan kewaspadaan pengguna jalan raya, namun langkah itu perlu disokong oleh pencahayaan, penandaan jalan, pengurusan kelajuan serta penyelenggaraan yang berkesan.
Beliau berkata setiap penambahbaikan perlu berasaskan penilaian risiko, corak trafik dan keadaan fizikal jalan, manakala JKR bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap piawaian teknikal yang ditetapkan.
“Infrastruktur yang selamat, penguatkuasaan yang berkesan dan sikap pengguna yang bertanggungjawab perlu bergerak seiring,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak industri dan pengguna jalan raya dalam memastikan langkah keselamatan dilaksanakan secara konsisten.
Menurutnya, KKR dan JKR berperanan dalam penyediaan serta penyelenggaraan infrastruktur di bawah bidang kuasa masing-masing, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.
Beliau berkata, pihak industri, khususnya pengendali kenderaan perdagangan dan syarikat pengangkutan, juga perlu membudayakan pemanduan selamat dalam operasi masing-masing.
Pada masa yang sama, Nanta berkata pertumbuhan kapasiti pelabuhan, termasuk pembangunan Westports 2, perlu disokong oleh jaringan jalan raya yang mencukupi, cekap dan selamat.
Menurutnya, penambahbaikan jaringan jalan raya di Pulau Indah, termasuk Pulau Indah Ring Road (PIRR), penting bagi menyokong pergerakan logistik dan mengagihkan aliran trafik dengan lebih teratur, selain memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Nanta turut mengambil maklum cadangan mengenai keperluan meneliti hubungan jalan raya tambahan antara Westports dengan Northport.
“Cadangan ini wajar diteliti dalam perancangan jaringan pengangkutan Pelabuhan Klang secara menyeluruh, tertakluk kepada penilaian teknikal, keperluan trafik dan pertimbangan agensi berkaitan,” katanya.
Beliau menggalakkan JKR Klang meneruskan kerjasama dengan Westports, PDRM, JPJ, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi mengenal pasti langkah seterusnya untuk meningkatkan keselamatan di sepanjang Jalan FT181.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Westports, Dato' Seri Ruben Emir Gnanalingam bin Abdullah berkata tanggungjawab syarikat itu bukan sahaja tertumpu kepada operasi pelabuhan, malah turut merangkumi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat di kawasan sekitarnya.
Beliau berkata Pulau Indah menjadi tempat Westports bertapak dan berkembang selama lebih tiga dekad.
“Justeru pembangunan serta kesejahteraan komuniti setempat sentiasa menjadi sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat,” katanya.
Ruben berkata, pada 2025, Westports memperuntukkan kira-kira RM4.56 juta bagi pelbagai inisiatif kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada lebih 19,000 penerima, dengan Pulau Indah terus menjadi kawasan tumpuan utama program CSR syarikat.
Menurutnya, infrastruktur yang menyokong aktiviti perniagaan dan perindustrian turut digunakan oleh masyarakat setempat, sekali gus menjadikan kerjasama antara syarikat swasta, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan tempatan penting dalam meningkatkan keselamatan serta kualiti infrastruktur.
“Diharap kerjasama antara Westports dengan JKR Klang dapat menjadi contoh kepada syarikat lain untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam mengenal pasti dan menangani isu keselamatan jalan raya di kawasan operasi masing-masing,” katanya.
Pasukan Polis Pelabuhan Westports memperuntukkan 3,764 jam pada 2025 bagi rondaan, kawalan lalu lintas dan bantuan lebuh raya, berbanding 3,740 jam pada 2024.
Pasukan itu turut bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk mengenal pasti risiko dan bahaya jalan raya serta menyokong pelaksanaan langkah keselamatan trafik di sekitar Pulau Indah.
Sumber : Kementerian Kerja Raya & Westports Malaysia
/file/attachments/889/KKRwestpostkredit_768240.png)
