Sekiranya benar sepertimana yang diberitakan, respons censors Lembaga Penapis Filem Malaysia terhadap filem Sepet sungguh mengecewakan. Filem hasil buah tangan pembuat filem independen Yasmin Ahmad ini khabarnya sudah ditayangkan di Singapura dan akan menyertai festival filem internasional di Eropah.

Saya belum menonton filem tersebut oleh itu saya tidak akan menyentuh isinya. Tetapi lapuran bahawa filem tersebut menerima arahan agar dilakukan sembilan potongan, serta ada kemungkinan tidak diluluskan untuk tayangan umum di negara kita, sekali lagi mengisyarat atau menandakan betapa miskinnya ruang budaya serta upaya intelektual masyarakat kita.

Atau benarkah begitu?

Layar Tancap Kolonial

Apakah kita sebagai sebuah masyarakat, secara bulat dan menyeluruh masih mendambakan filem-filem seperti yang ditayangkan secara layar tancap - yang dimulakan oleh pihak kolonial Inggeris melalui Department of Information nya - di kampung-kampung dan bandar pada tahun-tahun 1950an dulu?

Pada waktu itu filem ditayangkan di padang-padang dengan makeshift screen (idea bagus) dan kemudian diisikan antara lain oleh filem-filem yang menjurus pada sam an wa taa tan pada kolonialis Inggeris (idea tidak bagus) pada waktu itu?

Ini diteruskan oleh negara baru merdeka Persekutuan Tanah Melayu selepas kemerdekaan politik dicapai pada tahun 1957 yang kemudian dikembangkan dengan wahana atau medium baru di tahun-tahun berikutnya.

Bagi kebanyakan rakyat yang telah menimba hasil pendidikan, termasuk di peringkat universiti salah satu nikmat kemerdekaan tindakan memperkecil malah mempersendakan keupayaan berfikir mereka sudah tentu merupakan langkah mundur.

Di dalam dunia yang kian borderless , kewujudan satellite dish, vcd, dvd dan Astro apakah makna memotong adegan yang menunjukkan pengucapan kasih sayang di antara suami dan isteri yang sudah berusia lewat seperti dalam filem Yasmin sebelum ini, Rabun ?

Ianya suatu tindakan yang sukar untuk difahami.

Rabun

Barangkali adegan yang dilakunkan dalam filem Rabun tersebut tidak merupakan sesuatu yang familiar atau biasa dalam masyarakat dengan gender-equation ala Malaysia; but surely that's no reason for the deletion of the scene. Hasn't anyone heard of artistic licence in the rarefied stratospheres of our cultural and film guardians?

Anyway, isn't an expression of such tenderness much more preferable to the scenes of cruelty and abuse being heaped on spouses and various so-called domestic and social inferiors? Itu belum lagi mengambilkira adegan-adegan yang mengisyaratkan bebanan, malahan pembantaian minda yang mungkin lebih traumatik kesannya.

Kabarnya antara adegan yang dilarang dalam filem Sepet termasuklah adegan 3 wanita menyikat rambut sesame mereka kerana kononnya dikhuatiri akan menggalak wanita kembali pada tabiat lama mencari kutu. Tengok filem dan terus ikut? Tolong-lah!

Ramai orang di dunia termasuk di Malaysia - melihat filem-filem (termasuk dokumentari) mengenai pelbagai keganasan, peperangan, pembunuhan di Bosnia, Tebing Barat Palestin dan pelbagai adegan dahsyat lagi.

Kenapa filem-filem tersebut dibenarkan berleluasa? Ataupun apakah ada double-standards, satu untuk filem tempatan dan satu untuk filem luar negara?

Apakah mereka menjadi pengganas? Melihat David Niven sebagai pencuri kawakan yang bergengsi dalam sebuah filem tujuh puluhanapakah penontonnya menjadi pencuri pula? Apakah level pemikiran orang kita, warga Malaysia, yang sering digoda supaya menjadi warga dunia, hanya sekadar jaguh kampung?

Kepelbagaian

Yang pasti tindakan pencerobohan dan penyelewengan dalam ruang awam yang berlaku dalam tahun 1990an hingga awal 2000an belum terbukti dilakukan akibat pengaruh filem. Filem lebih tepat dilihat sebagai cerminan persekitarannya dan bukan sebagai penentu utama perilaku anggota-anggota masyarakat tersebut.

Yasmin Ahmad merupakan salah seorang pembuat filem independen. Filem independen biasanya dihasilkan oleh mereka yang mempunyai ghairah besar terhadap bidang yang diterokainya.

Samada filemnya bagus atau tidak, penonton harus diberi pilihan untuk menonton filemnya ataupun filem Jins Shamsuddin, atau filem Yusuf Haslam, Shuhaimi Baba atau James Lee.

Filemnya harus dapat ditonton oleh mereka yang meminatinya sepertimana hak penonton lain untuk menonton filem Iran, Korea, Bollywood, Hollywood, Aziz M Osman, P Ramlee, Aziz Sattar, Mat Sentul, Yuhang maupun Namron.

Episod ini merupakan suatu lagi contoh betapa guardians kita meragui kemampuan kita untuk mengecapi nikmat plurality: kepelbagaian. Dunia kini adalah dunia warna-warni, bukannya dunia charcoal gray on a wet winter's day in London , atau cuma warna-warni merah menyala atau hijau terang atau biru garang semata-mata.

Pernahkah mereka mendengar kata-kata bhinekka tunggal ika; atau frasa silang pandang sebagai rahmat? Kita seharusnya telah matang dan belajar untuk meraikan kepelbagaian serta perbedaan sudut pandang.

Generasi Baru

Apakah kita tidak berupaya melakukan itu, berbekalkan pendidikan kita? Bukankah kita mendakwa sekolah-sekolah kita yang terbaik di dunia? Malah ada kampus universiti kita di Kuala Lumpur yang sarat dengan kain rentang dan banner dengan kata-kata the top 100 in the world?

Itu belum lagi diperhitungkan pengalaman hidup dan exposure pelbagai lapisan masyarakat kita.

Sekiranya kita tidak memperdulikan perkembangan khususnya di kalangan generasi baru masyarakat kita, kitalah yang kerugian, bukan mereka. Generasi baru dengan penguasaan pelbagai media berbentuk baru akan tetap mendapat akses pada apa yang ingin mereka cari. Oleh kerana penguasaan generasi baru terhadap teknologi maklumat, kata-kata McLuhan ternyata, benar: the world is a global village!

Dan bagi kebanyakan kita yang telah terlatih untuk berfikir dan tidak hanya untuk meng "ia" kan, pembatasan ruang seni dan budaya kita pasti dirasa membosankan, semu dan menjenuhkan. Kehidupan yang terpasung dalam kerangka mono-dimensi, menjadi one-dimensional man sekadar meminjam istilah dari tajuk buku Herbert Marcuse yang popular dalam tahun-tahun enam puluhan dulu, bukanlah sesuatu yang boleh menimbulkan ghairah-hidup, a passion for life.

Saya kadang-kadang bertanya pada diri saya apakah mereka yang menjadi cultural guardians kita ini pernah bersentuhan dengan karya-karya Abbas Kiarostami, Usmar Ismail(tokoh penting perfileman Indonesia), Syumandjaya, Satyajit Ray, Ken Loach, Eisenstein dan lain-lain lagi?

Pernahkah mereka melihat filem-filem Garin Nugroho, yang merupakan pembuat filem generasi baru dari jiran tetangga kita, seperti Bulan Ditusuk Ilalang dan Cinta Dalam Sepotong Roti ? Ataupun sudahkah mereka menghayati filem Ca bau kan hasil karya Nia DiNata?

Dan pernahkah mereka menonton filem seperti Children of Heaven - mengenai si anak kecil dan sepasang kasut filem-filem yang hanya menelan perbelanjaan sekitar lima puluh ribu ringgit tapi besar nilainya serta memenangi pelbagai hadiah juri antarabangsa?

Ribut Sepet dan Usmar Ismail

Ribut, meskipun muted dan cuma bergentayangan di dunia siber di samping sebuah akhbar arus perdana, di sekitar filem Sepet ini buat pertama kalinya memperlihatkan semangat perlawanan sekitar filem tempatan dalam pembelaan Yasmin terhadap filemnya.

Respons peminat filem juga barangkali menandakan keinginan mereka untuk melihat pertumbuhan dunia filem tempatan yang lebih berwarna-warni, bukan saja untuk objektif menjayakan filem Malaysia, tapi lebih penting dari itu, meraikan cita-cita terpendam merayakan kehidupan, dan bukannya untuk meng"control" proses membuat pilihan.

Sekiranya semangat ini berterusan ini menunjukkan ada gerakan penonton yang bakal menyumbang pada terwujudnya senario dunia perfileman masadepan yang lebih menjanjikan terlepas daripada jerutan kekuasaan pemilik modal atau panggung atau "insan filem" umumnya

Barangkali ada baiknya saya akhiri tulisan ini dengan kutipan ringkas dari puisi yang ditulis oleh Usmar Ismail, sewaktu gelora revolusi perjuangan kemerdekaan Indonesia, jauh sebelum beliau terkenal sebagai sutradara filem tersohor negaranya:

Saudara, nyawa tiada harga

harta kekayaan dapat dipungut

bagai pasir di pantai

samudera nafsu jin dan syaitan!

Tapi jangan cuba rampok

dari daku kebebasan

berfikir, berkata, bergerak,

batas leluasa

hanya taqwaku pada Dia!

(Kebebasan, Mac 1946)

Barangkali bahasanya sarat dengan latarbelakang revolusi kemerdekaan negaranya pada waktu itu. Tapi intipatinya tetap sama: pernyataan seorang seniman yang menuntut ruang berkarya yang tidak ingin dialahkan.


RAJA AHMAD is a poet, writer and student of history.