Bahagian 3

Kemudian Datuk diundang menyampaikan ucapan perasmian. Beliau memulakan dengan memuji usaha PPI Siru Kambam kerana menganjurkan ceramah sastera. Kemudian beliau bercakap tentang apa yang diketahuinya tentang sastera. Aduh! Mengapa harus memalukan dunia sastera? Datuk memperkatakan tentang penulisan sastera seperti seorang budak berumur 12 tahun. Di sana-sini beliau sekadar menyelitkan kata-kata daripada Thirukkural, Bhagavad-Gita, Ramayana dan beberapa buku sastera barat.

Saya dapat perhatikan reaksi sasterawan yang cuba bersikap selamba. Beliau cuba menahan tawa. Dapat saya agak apa yang beliau fikirkan: "Mujurlah Datuk bercakap dalam Bahasa Tamil dan tidak ada sasterawan serta khalayak Melayu di sini."

Kalau tidak, saya sendiri pasti bahawa mereka akan ketawa besar melihat mentaliti Datuk dalam hal penulisan sastera! Dan mentaliti Datuk pasti dijadikan pembaris bagi mengukur mentaliti masyarakat yang bernaung di bawah PPI pimpinan Datuk.

Tetapi agak mujur juga kerana nampaknya hampir keseluruhan hadirin hanya membaca karya Bahasa Tamil. Itu pun sekadar membaca tanpa menganalisis; tanpa pembacaan kritikal. Mereka juga mengagung-agungkan Datuk sehingga menganggap segala ucapan Datuk sebagai ucapan yang tinggi nilainya. Jika begini selamanya, bagaimana khalayak ini akan dapat mencerna isu yang dikemukakan oleh saudara penceramah dalam kertas kerja beliau?

Eh! Datuk telah bercakap selama hampir satu setengah jam. Jadi bilakah sasterawan kegemaran saya akan mendapat peluang? Saya perhatikan beliau yang masih duduk tenang di pentas. Datuk pula terus bercakap dengan penuh bersemangat sambil memegang mikrofon di tangan kiri. Suaranya lantang tetapi isinya kosong. Tetapi para hadirin bertepuk pada setiap kali Datuk mengakhiri satu ayat. Tidak ubah seperti budak-budak darjah satu di sekolah Tamil yang gembira mendengar cerita karut daripada guru mereka!

"Saya telah berucap agak lama di sini," kata Datuk akhirnya. "Kalau boleh, memang banyak ilmu yang boleh saya curahkan kepada anda berhubung penulisan karya sastera."

Saya tersenyum sendiri mendengar kata-kata itu. Sasterawan yang datang sebagai penceramah juga kelihatan tersenyum.

Tujuan penulis dipertikai

"Sebenarnya tak perlu jemput penulis luar," sambung Datuk sambil memandang sasterawan itu sekilas lalu. "Saya sendiri boleh kendalikan ceramah sastera. Cuma saya kekurangan masa. Maklumlah saya tokoh politik... Sebenarnya, apa tujuan penulis kaum India apabila menulis tentang kaum India dalam Bahasa Melayu? Jika untuk mendidik masyarakat India, mengapa tidak ditulis dalam Bahasa Tamil? Mengapa gunakan bahasa yang kita orang Tamil tidak tahu? Mungkin mereka mengejar bayaran ... kerana majoriti akhbar Tamil tidak menyediakan bayaran. Jadi, di mana keikhlasan mereka dalam mendidik masyarakat?"

Dewan gamat dengan tepukan para hadirin. Saya terkejut. Saya lihat penceramah masih tenang. "PPI berusaha membantu kaum India. Malah, seperti yang anda semua tahu, PPI sedang berusaha masuk Barisan Nasional. Memanglah IPF dulu tidak diterima masuk kerana ... (ditapis) ... tetapi saya yakin bahawa saya boleh membela nasib anda semua. Saya pasti bahawa saya boleh. Saya lebih tahu apa yang perlu bagi membantu masyarakat kita. Jadi saya rasa selepas ini, PPI Siru Kambam harus mengadakan ceramah sekali lagi. Saya sendiri akan ajar para penulis tentang apa mesej yang perlu ditulis bagi bacaan masyarakat kita..."

Dewan gamat dengan bunyi tepukan yang berpanjangan sekali lagi. Tuan Presiden tersenyum bangga. Pasti bangga kerana Datuk menyatakan kesudian untuk datang ke Siru Kambam sekali lagi. Maka akan bertambahlah peluang untuk Tuan Presiden mendapat 'tempat' di hati Datuk. "Eh!" kata Datuk tiba-tiba dengan nada serius seraya memandang Tuan Presiden. "Sudah tengah hari. Ada sediakan makan untuk mereka?"

Tuan Presiden mengangguk riang. Tiba-tiba juga dapat saya rasakan perut yang minta diisi. Mungkin juga kerana pagi tadi saya hanya makan sekeping roti. Saya lihat para hadirin juga menjilat-jilat bibir.

"Masakan apa?" Datuk bertanya lagi. "Saivam, ya? Tak apa. Masa ceramah sekali lagi, saya sendiri akan taja makan tengah hari. Kita cuba makanan Cina. Anda semua pernah makan masakan Cina? Saya rasa tak pernah. Tak apa. Saya akan belanja anda semua. Kita susun meja di dalam dewan ini dan adakan jamuan. Err... Cukup tak tempat kalau kita adakan jamuan di dalam dewan ini? ... Atau kita buat saja di luar dewan. Sesuai, kan? Kita adakan ceramah di dalam dewan. Kemudian kita makan di luar sana ... bermacam-macam masakan Cina yang anda semua saya rasa tak pernah makan sebelum ini."

Para hadirin menelan air liur.

"Lapar rasanya," bisik salah seorang penduduk yang duduk tidak jauh dari saya. "Baik betul hati Datuk."

Hanya 15 minit

Sejurus selepas itu, Datuk merasmikan majlis. Selepas itu, Tuan Presiden mengalungkan karangan bunga malai ke leher Datuk. Hanya selepas itu penceramah dipersilakan untuk menyampaikan kertas kerja beliau.

"Sebelum menjemput saudara penceramah," kata pengerusi majlis, "suka saya ingatkan bahawa kita kesuntukan masa. Sekarang sudah pukul 1.30 tengah hari. Para hadirin tentu lapar kerana mereka juga manusia. Tuan Presiden telah bermurah hati menaja makan tengah hari yang istimewa. Jadi, penceramah diberikan masa setengah jam sahaja untuk menyampaikan isi-isi penting dalam pembentangan kertas kerjanya."

Mata saya terbeliak. Sasterawan yang datang sebagai penceramah masih kelihatan tenang. Bagaimana beliau mampu? Beliau menghampiri mikrofon bagi menyampaikan ceramah. Amat ringkas tetapi tetap padat.

Tuan Presiden sedang sibuk bercakap sesuatu dengan Datuk. Timbalan Presiden, Setiausaha dan Ketua Wanita yang sama-sama berada di pentas turut serta dalam perbualan itu. Para hadirin juga mula berbual sesama sendiri. Nampaknya hanya saya seorang sahaja yang mendengar ceramah. Penceramah ternyata memandang saya dengan sayu walaupun suaranya masih tenang menyampaikan ceramah bertajuk "Sasterawan dan Pembaca Kaum India dalam Sastera Bahasa Malaysia: Untuk apa? Di mana mereka? Berapa ramai? Siapa mereka? Perlukah mereka?"

Seperti yang telah saya duga, beliau mengakhiri ceramah dalam masa 15 minit sahaja. "Terima kasih kepada saudara penceramah yang menamatkan ucapannya dalam masa yang begitu cepat," kata Tuan Presiden dalam ucapan penutupnya. "Agaknya dia tahu bahawa segala isi penting sudah pun disampaikan secara bernas dan tepat oleh Datuk tadi."

Tepukan bergemuruh. Saya lihat saudara penceramah masih tenang sementara Datuk tergelak bangga. Majlis berakhir sebelum saya sempat pulih daripada rasa terkejut dan rasa terhina. Tepukan terus bergemuruh. Para hadirin mula berdiri dan berkerumun dalam bentuk barisan dari luar pintu dewan hingga sampai ke tepi pentas.

"Harap Datuk sudi makan bersama kami," Tuan Presiden mempelawa sambil merendah diri.

"Tak apalah. Tak ada masa. Saya nak makan di bandar Taiping. Ada jemputan khas. Faham-fahamlah "

Datuk turun pentas diiringi Tuan Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha dan Ketua Wanita. Sejumlah penduduk Siru Kambam, Aulong Lama, Aulong dan Kampong Boyan segera berebut-rebut untuk bersalam dengan Datuk. Ada yang sampai menyembah kakinya!

Saya masih terpaku di tempat duduk jauh selepas orang ramai keluar dewan. Agaknya Datuk sudah berlepas di dalam kereta Kancil Eranya. Tuan Presiden sedang dipuji oleh para AJK PPI Siru Kambam. Orang ramai pula sibuk menjamu selera. Masing-masing bercakap tentang jamuan yang bakal diadakan oleh Datuk pada majlis yang seterusnya nanti.

Sasterawan @ penceramah pula turun pentas; menghampiri saya dan memegang bahu. Saya memandang beliau. Beliau memandang saya. Saya tertunduk; tidak mampu memandang mata beliau. Saya terpandang kertas kerja yang dibuang merata-rata. Saya berusaha mencerna topiknya.


UTHAYA SANKAR SB is a programme coordinator at Prime Group of Colleges, Subang Jaya and the founder president of Malaysian Indian Writers' Association (Kavyan). He produces creative pieces mostly in Bahasa Malaysia which has won him a few awards. Uthaya's webpage address is www.uthayasb.cjb.net and he can be contacted at uthayasb@kavyan.cjb.net . The above article was published in Dewan Sastera , February 1997.