Copa America: Berakhirnya penantian 99 tahun
Copa America akhirnya bertapak di Chile untuk kali pertama - sejak 99 tahun - selepas kesebelasan pemain negara itu menumpaskan Argentia dalam aksi penuh debaran di Estadio Nacional, Santiago pagi tadi.
Tempoh perlawanan selama 120 minit ternyata tidak cukup buat kedua-dua pasukan mencari gol untuk mengesahkan kejuaraan, memaksa perlawanan dipanjangkan ke sepakan penalti.
Hasilnya, ia berpihak kepada pasukan tuan rumah dengan jaringan 4-1.
Penyerang berbisa Arsenal Alexis Sanchez menjadi penentu mutlak kemenangan Chile apabila menjaringkan gol keempat, ketika Argentina hanya berjaya membolosi satu gol saja melalui Lionel Messi.
Chile sebelum ini pernah bersaing di perlawanan akhir Copa Amerca sebanyak lima kali iaitu pada 1955, 1956, 1979 dan 1987.
Pada perlawanan itu Chile beraksi cemerlang dengan beberapa percubaan berbahaya tetapi berjaya dikekang Argentina yang pernah memenangi gelaran berkenaan sebanyak 14 kali.
Selepas terikat 0-0, penonton menyaksikan detik mendebarkan apabila seorang demi seorang pemain mengambil giliran untuk menyempurnakan sepakan masing-masing.
Penjaga gol yang juga ketua pasukan Chile, Claudio Bravo bertindak cemerlang apabila berjaya menahan sepakan penalti ketiga oleh Ever Banega, manakala sepakan kedua oleh Gonzalo Higuain jauh melepasi palang.
Hanya Messi yang diletakkan sebagai pemain pertama mengambil sepakan penalti berjaya menewahkan Bravo.
Di pihak Chile pula, gol disumbangkan oleh Mati Fernandez, Arturo Vidal, Charles Aranguiz dan Sanchez.

