Seramai 14 pemain yang mengikuti kem latihan pusat fasa kelima futsal dari 1 Julai hingga 6 Julai (hari ini) dipilih mewakili skuad futsal negara ke Kejohanan Piala Futsal Komeanwel 2015 di Wellington, New Zealand.

Dalam kenyataannya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, Malaysia akan menyahut cabaran kejohanan edisi sulong itu yang bakal berlangsung pada 10 hingga 12 Julai ini.

Dalam kem latihan fasa kelima seramai 17 pemain telah dipanggil, bagaimanapun hanya 14 orang yang dipilih oleh barisan jurulatih diketuai Marcelo Serpa.

Tiga nama yang digugurkan ialah penjaga gol, Mohd Firdaus Razali (MPSJ) yang cedera serta Qaiser Heshaam Abdul Kadir (Felda United) dan Mohd Shahmi Abdullah Sani (Kedah).

Marcelo bersama dua penolong jurulatih, Addie Azwan Zainal dan Mohd Fairuz Mohd Noor akan mengiringi skuad futsal negara yang akan berlepas ke Wellington, malam ini.

Sebelum memulakan aksi kejohanan tersebut, mereka dijadualkan perlawanan persahabatan bertemu naib juara Liga Futsal New Zealand, Capital Futsal, Rabu ini.

Malaysia bakal bertemu Vanuatu pada perlawanan pertama dijadualkan pada Jumaat ini.

Pemain negara dibarisi lima pemain kelab Felda United iaitu Ahmad Fawzul Hadzir Mohamad, Saiful Nizam Mohd Ali, Azrul Hadee Mohd Taufiq, Muhammad Fitri Muhammad Yatim dan Muhammad Akmal Yazadh Amri.

Selain itu skuad kebangsaan juga terdiri daripada Saiful Aula Ahmad dan Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin (Selangor), Muhammad Shamar Fadzil (Melaka), Amar Ashraf Abu Bakar (Kedah), Syed Aizad Syed Danial dan Muhammad Shamsul Akmar Zamri (MPSJ), Mohd Ridzwan Bakri (Sabah), Mohd Noor Azrin Adnan (Kuala Lumpur MK) serta Akmarulnizam Mohd Idris (Pahang).