Azraai Khor 'ceraikan' Kelantan
Jurulatih pasukan bola sepak Kelantan, Mohd Azraai Khor Abdullah, mengesahkan beliau telah menghantar surat rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berhubung peletakan jawatannya.
Beliau ketika dihubungi Malaysiakini hanya memberi pengesahan ringkas berhubung perkara itu.
"Dah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini melalui aplikasi Whatsapp, hari ini.
Terdahulu, jurulatih berusia 62 tahun itu dilaporkan kecewa dengan prestasi anak buahnya dan mendakwa kerja kejurulatihanya di Kota Bharu diganggu oleh 'tangan ghaib'.
Ditanya mengenai bentuk gangguan yang dihadapinya, Mohd Azraai Khor bagaimanapun mengambil sikap mendiamkan diri buat masa sekarang.
Sebelum ini beliau menjelaskan tidak mahu dijadikan kambing hitam andai terus mengemudi The Red Worriors (TRW) dengan campur tangan 'orang luar'.
Beliau dilaporkan menyuarakan hasrat itu kepada Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa melalui aplikasi Whatsapp sejurus Kelantan tewas 3-0 kepada Lions XII, Sabtu lalu.
Sementara itu Bernama melaporkan, KAFA masih belum menerima surat rasmi daripada Mohd Azraai Khor.
"Mungkin lepas ini surat rasmi akan diterima jadi sekarang saya tidak boleh komen apa-apa," kata Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ditanya siapa yang akan menjadi jurulatih baharu Kelantan jika Azraai secara sah meletak jawatan, Ismail berkata ia akan ditentukan pihak pengurusan dalam masa terdekat.
"Jika betul dia letak jawatan kita akan hormati keputusannya, mungkin dia rasa bertanggungjawab di atas persembahan Kelantan yang kurang memuaskan," kata Ismail.
Mohd Azraai Khor menggalas tugas sebagai jurulatih Kelantan menggantikan George Boateng pada 24 Mac lepas.
Untuk rekod, di bawah kendalian Mohd Azraai Khor, Kelantan hanya mencatat tiga kemenangan, dua seri dan tujuh kekalahan daripada 12 perlawanan dalam Liga Super dan Piala FA tahun ini.
Beliau turut membawa Kelantan ke pentas final Piala FA tahun ini walaupun tewas 3-1 di tangan Lions XII.

