Raya nanti saya minta maaf, kata TMJ
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyuarakan kebimbangan berikutan belum ramai penyokong bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) bertandang ke stadium setiap kali ada perlawanan.
Beliau berkata, PBNJ telah memutuskan untuk membina stadium baru JDT diilhamkan sebagai sebuah stadium serba moden bertaraf dunia dengan kapasiti penonton sekitar 35,000 hingga 40,000 orang.
"Bagaimanapun, ramai yang memberi komen dan pendapat bahawa stadium yang baru ini harus mempunyai kapasiti seramai 50,000 orang atau lebih.
“Bilangan penyokong yang hadir memberi sokongan di Stadium Larkin yang besarnya tidak seberapa pun akhir-akhir ini amat menyedihkan, apatah lagi di stadium yang lebih besar kelak," kata beliau yang juga Tunku Mahkota Johor.
Luahan itu dimuat naik sebagai status di Facebook JOHOR Southern Tigers dengan tajuk "Pada suatu masa dahulu", hari ini.
Tegas beliau, walaupun dengan harga tiket termurah di seluruh negara, penyokong masih keberatan untuk datang ke stadium.
"Jika stadium dengan kapasiti 20,000 pun susah nak dipenuhkan, apatah lagi stadium dengan kapasiti 50,000? Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin pernah dibanjiri lebih 33,000 penyokong pada zaman Daniel Guiza.
"Pada masa itu, kemudahan stadium cuma ala kadar. Tetapi sekarang, bila PBNJ sudah berbelanja dengan bermacam-macam penambahbaikan fasiliti dan kemudahan stadium, nampaknya penyokong sudah semakin kurang ke stadium," jelasnya
"Ramai yang memberikan alasan tiket, tempat parking dan macam-macam lagi alasan lain.
"Penyokong-penyokong dari pasukan lain cuma boleh mengidamkan sebuah stadium seperti Stadium Larkin dan projek bola sepak seperti di Johor, tetapi penyokong Johor mudah lupa.
"Di manakah kita beberapa tahun yang lepas? Pengorbanan PBNJ seolah-olah tidak dihargai. Untuk mencapai kejayaan bukannya bergantung pada alasan, tetapi ia bergantung kepada pengorbanan dan keikhlasan," katanya.
Sehubungan itu, kata beliau stadium baru nanti akan kekal dengan kapasiti seramai 35,000 hingga 40,000 walaupun belum pasti penuh.
"Saya tahu ramai yang akan berasa kecil hati. Tetapi ini pandangan ikhlas saya.
"Kemajuan kelab bola sepak terletak pada pandangan ke hadapan dalam semua aspek. Kepada yang tersinggung, Hari raya nanti saya minta maaf," ujar beliau mengakhiri kenyataan itu.
PADA SUATU MASA DAHULUBaru-baru ini PBNJ telah memutuskan untuk membina stadium baru JDT. Stadium baru ini diilhamkan...
Posted by JOHOR Southern Tigers on 6hb Julai 2015

