Bellerin: Kami boleh kalahkan sesiapa saja
Arsenal mungkin gagal muncul juara Liga Perdana Inggeris pada musim lalu tetapi kejayaan kelab itu mengekalkan Piala FA untuk dua tahun berturut-turut cukup untuk membayangkan ancaman yang bakal dibawa pada musim depan.
Pengurus The Gunners, Arsene Wenger pula baru-baru ini berjaya mengikat salah seorang penjaga gol terbaik dunia, Petr Cech yang berhijrah dari Chelsea.
Dalam keadaan begitu di mata pemain muda kelab itu, Hector Bellerin, Arsenal mampu mengalahkan sesiapa saja dalam mana-mana persaingan.
"Saya sangat teruja dengan musim baru ini.
"Melihat kepada cara kami menamatkan saingan musim sudah, Arsenal kelihatan begitu padu dan menampakkan prestasi cemerlang terutama sejak awal tahun," katanya kepada laman web rasmi Arsenal.
Kata pemain kelahiran Barcelona, Sepanyol itu, mereka mempunyai keyakinan cukup tinggi untuk mengalahkan mana-mana pasukan utama dunia jika perancangan dibuat dengan rapi.
Pada musim 2014/2014 Bellerin membuat penampilan penuh sebanyak 25 kali dan berharap musim mendatang dia boleh memberi lebih banyak sumbangan buat Arsenal.
"Saya sentiasa mahu memperbaiki prestasi dan akan berusaha menjadi pilihan utama dalam setiap perlawanan.
"Kami juga berharap dapat memenangi lebih banyak piala," katanya.

