Walaupun terkandas di Portugal, skuad bola sepak bawah 13 tahun (B-13) negara pulang dari perantauan hari ini dengan hati yang bangga.

Sebabnya - bersama mereka adalah fakta bahawa mereka bermain 24 perlawanan dan hanya kalah sekali.

Rekod juga menunjukkan anak muda harapan negara itu menjaringkan 69 gol sepanjang siri Jelajah Eropah 2015.

Kejayaan mereka menjulang Ibercup Costa Del Sol di Sepanyol adalah bukti bahawa ada sesuatu yang boleh diharapkan kepada mereka.

Walaupun tidak meletakkan sasaran untuk menang, penolong ketua jurulatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPNB)‎ Raja Azlan Shah Raja Sho'ib ( gambar ) berkata, objektif utama jelajah tersebut adalah memberi pendedahan kepada semua pemain.

"Pemain telah menunjukkan peningkatan mendadak sejak kami di Eropah berbanding ketika dalam latihan pusat," katanya.

Raja Azlan memberitahu, daripada 69 gol yang dijaringkan skuad B-13, ia dilakukan oleh 15 pemain berbeza.

"Pemain (kini) lebih berani dan tahu membuat keputusan di atas padang. Pendedahan sebegini satu permulaan baru kepada pemain, namun langkah kita masih jauh," katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

Bersama Raja Azlan tiba di KLIA kira-kira jam 5 petang tadi ialah 24 pemain PPNB yang mengikuti jelajah.

Raja Azlan berkata, beberapa pemain yang sebelum ini dilihat kurang menyerlah, juga berjaya bangkit memberikan persembahan berbeza sepanjang di Eropah.

"Sebahagian daripada pasukan ini menampilkan aksi berbeza ketika di Eropah dan perkara ini membanggakan saya.

"Semangat juang mereka juga wajar dipuji", katanya.

Anak buah Lim Teong Kim itu mengharungi 24 perlawanan termasuk menentang kelab-kelab ternama Eropah seperti Bayern Munich, Red Bull Salzburg, TSV 1860 Munich, Rayo Vallecano, FC Sevilla, Atletico Madrid, Sporting Lisbon dan Paris St Germain.