Suarez jadi sumber ilham penulis buku puntianak
Siapa sangka aksi Luis Suarez yang gemar menggigit pemain lawan menjadi sumber inspirasi kepada penulis Peter Barron menghasilkan buku puntianak untuk bacaan kanak-kanak.
The Mirror melaporkan, watak yang diilhami daripada kelaku Suarez muncul dalam siri terakhir Monstrous Morals.
Menceritakan bagaimana dia mendapat ilham berkenaan, penulis Britain itu berkata, dia sedang menulis apabila media menghalakan tumpuan kepada Suarez kerana dia sekali lagi menggigit lawan.
"Kebetulan ketika itu saya memerlukan watak raksasa. Melihat kepada insiden itu, saya rasa Suarez sesuai," katanya.
Suarez, 28, adalah pemain berbakat dari Uruguay namun kehebatannya sentiasa dibayangi kenakalan ketika beraksi di dalam padang.
Digantung sembilan bulan
Dia pernah bermain untuk Liverpool sebelum berhijrah ke Barcelona.
Suarez menunjukkan taringnya - secara hakiki - dengan menggigit pemain lawan untuk pertama kali pada 2010 ketika masih bersama kelab Ajax Amsterdam.
Tiga tahun kemudian ketika bersama Liverpool, Suarez sekali lagi melakukan aksi ganas itu ke atas pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic.
Kali terakhir Suarez menggigit ialah pada aksi Piala Dunia 2014 dengan menjadikan bahu pemain Itali, Giorgio Chiellini sebagai sasaran.
Akibat kelakuan itu, Suarez digantung daripada beraksi selama sembilan bulan dalam pertandingan antarabangsa dan empat bulan daripada sebarang perlawanan bola sepak.
Barron berharap Suarez tidak memandang negatif mengenai watak tersebut.
"Saya hanya berharap dia melihat watak itu dari sisi lucu dan tidak datang untuk menggigit saya," katanya.

