Keputusan Manchester United (MU) membawa Bastian Scweinsteiger dan Morgan Schneiderlin ke Old Trafford dilihat sebagai satu tindakan menarik oleh Pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Schweinsteiger dan Schneiderlin secara rasminya diperkenalkan sebagai pemain MU selepas mereka selesai menjalani ujian kesihatan, kelmarin.

Selain dua pemain dari Jerman dan Perancis itu, The Red Devils juga berjaya mendapatkan khidmat Memphis Depay dan Matteo Darmian.

"Kami tahu Manchester United tidak akan senang dengan kehilangan pemainnya. Mereka pasti akan bertindak.

"Lihat sekarang, mereka telah merekrut beberapa pemain yang bagus," kata Wenger seperti dilaporkan Skysports.

"Mereka mengakhiri musim lalu dan berfikir bahawa mereka perlu memperbaiki barisan tengah. Jadi mereka lakukan dengan membawa dua pemain penting iaitu Schweinsteiger dan Schneiderlin."

"Mereka berdua adalah pemain kelas dunia. Schneiderlin adalah pemain tahap tinggi dan Schweinsteiger sudah memperoleh segalanya sepanjang karier, jadi sangat menarik untuk lihat bagaimana mereka bergabung dengan pemain lain," ujar Wenger.

Schweinsteiger didatangkan dari Bayern Munich ke MU dengan harga perpindahan sekitar £14 juta (RM82 juta).

Sementara bekas pemain tengah Southampton, Schneiderlin menandatangani kontrak bersama skuad kendalian Louis Van Gaal dengan nilai perpindahan £24 juta (RM141 juta).