Yang penting, kata Ketua Jurulatih Kebangsaan Dollah Salleh, pasukan negara memberikan saingan dan terhindar daripada sekadar menjadi skuad belasahan.

Itu harapan beliau kira-kira sehari sebelum pasukan Pilihan Malaysia bertemu Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Kata Dollah, Malaysia berharap dapat "tunjukkan sesuatu" dengan perlawanan persahabatan berkenaan.

Liverpool dalam siri lawatan pramusim ke Asia sebelum saingan Liga Perdana Inggeris bermula bulan depan.

Semalam dalam sidang media di Subang, Dollah membayangkan harapannya untuk mencatat kemenangan walaupun lawan yang dihadapi di atas padang adalah kelab yang pernah menjadi gergasi di Eropah.

Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers pula berkata, dia berharap tahap kecergasan anak buahnya dapat ditingkatkan hasil perlawanan esok.

Kata Dollah, dia masih memikirkan dengan khuatir mengenai kerjasama berpasukan di kalangan pemain Pilihan Malaysia.

Ditanya mengenai kesebelasan utama pemain bakal diturunkan, Dollah berkata, beliau sudah mempunyai pemain yang akan diturunkan.

Bagaimanapun dia ‎berharap semua pemain yang dipanggil itu dapat merasai sendiri pengalaman menentang Liverpool.

‎"Apa yang saya boleh katakan, kita - masa yang begitu singkat - semangat pemain nampaknya membuak-buak," katanya ketika ditemui di sesi latihan terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Mengulas mengenai barisan pemain Liverpool yang bakal diturunkan katanya, itu bukan perkara penting.

"Pemain simpanan atau pemain apa, kita tahu Liverpool, satu dunia pun tahu (Liverpool).‎ Yang penting kita tak mahu jadi team belasahan," jelasnya.