Pesan TMJ untuk FAM: Pilih kasih, korupsi 'membunuh'
Ada dua perkara yang membunuh bola sepak negara, kata Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada FAM, iaitu amalan pilih kasih dan korupsi.
Mengulas mengencai cadangan FAM untuk menswastakan Liga Malaysia, Tengku Mahkota Johor itu berkata, badan induk bola sepak negara itu perlu adil membantu semua pasukan yang bertanding dan bukan melebihkan sesetengah pihak.
Pada masa sama, kata Tunku Ismail, pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia sepatutnya memperjuangkan hak penyiaran terlebih dulu sebelum dikaburi oleh cadangan FAM untuk menswastakan liga.
"Usahakan selangkah demi selangkah. FAM mestilah adil dalam membantu semua pasukan yang bertanding di Malaysia, dan bukannya melebihkan sesetengah pasukan sahaja," katanya hari ini
Menurut kenyataan umum disiarkan dalam Facebook itu Tunku Ismail berkata tiga langkah pertama untuk memperbaiki bola sepak Malaysia adalah mengamalkan profesionalisme, konsisten dan ketelusan.
Kata beliau cadangan penswastaan Liga Malaysia adalah baik tetapi sukar dilaksanakan oleh semua pasukan kecuali KL Felda United, Pahang dan Terengganu yang dianggap "kaya" serta memiliki dana besar.
Paling baik 80 peratus
"Untuk mana-mana penaja atau pelabur, mereka tentu sekali mahu mendapat keuntungan daripada pelaburan dan tajaan mereka. Tetapi berapalah sangat keuntungan mereka boleh raih daripada menaja pasukan-pasukan Malaysia berbanding kelab-kelab Eropah?" soal TMJ.
Jelas beliau, masalah utama dalam bola sepak Malaysia adalah kebanyakan presiden persatuan dan kelab tidak mengetahui hak masing-masing.
"Sebelum kita boleh teruskan dengan usaha menswastakan liga, semua pasukan yang bertanding perlu memperjuangkan hak penyiaran masing-masing," katanya.
Tunku Ismail berpendapat, setiap persatuan, kelab dan semua pasukan bertanding sepatutnya memperjuangkan hak untuk menerima sekurang-kurangnya 70 peratus - atau lebih ideal, 80 peratus - daripada pendapatan penyiaran.
"FAM selaku badan pentadbir sepatutnya menerima sebanyak 20%," katanya.
"Usahakan selangkah demi selangkah. FAM mestilah adil dalam membantu semua pasukan yang bertanding di Malaysia, dan bukannya melebihkan sesetengah pasukan sahaja," tegas Tunku Ismail.
Bagaimanapun katanya, PBNJ sentiasa berusaha sedaya upaya demi pembangunan sukan nombor satu dunia itu.

