Walau menang, PDRM peluh jantan berdepan Perak
Walaupun berjaya mengatasi Perak dengan jaringan 3-2 pada perlawanan di Stadium Shah Alam malam tadi, pasukan PDRM dihukum dengan kelekaan di minit-minit akhir permainan.
Pada minit ke-90 The Cops sudah mengatasi anak buah Datuk M Karathu 3-0, bagaimanapun masa kecederaan selama tiga minit memberi tamparan hebat kepada mereka.
Perak bangkit melalui dua gol sebaik masa tambahan diberikan pengadil perlawanan, malah hampir menyamakan kedudukan.
"Alhamdulillah perlawanan memihak kepada kami dan secara keseluruhannya PDRM bermain dengan baik malam ini.
"Bagaimanapun, keselesaan dengan jaringan awal memberi pengajaran besar kepada kita apabila dihukum dua gol lawan dalam masa tiga minit terakhir," kata Ketua Jurulatih PDRM, Mohd Fauzi Pilus.
Tambah beliau, kelekaan barisan pemain The Cops disaat akhir perlawanan itu merupakan pengajaran besar buat mereka.
Perlawanan ke-17 saingan Liga Super 2015 itu menyaksikan PDRM menguasai perlawanan dengan taktikal yang lebih konsisten pada separuh masa pertama dan kedua.
Perak tangga 3, PDRM 8
Corak permainan kemas melalui hantaran-hantaran pendek dan cuba keluar dari perangkap off side dilihat memberi kelebihan kepada anak didik Mohd Fauzi.
PDRM tidak perlu menunggu terlalu lama untuk berada di depan apabila gol terhasil pada minit ke-10 melalui rembatan pemain import mereka, Ashfaq Ali.
Babak masa kedua PDRM terus cemerlang walaupun turut diasak pemain Perak dengan beberapa peluang dan percubaan.
Perak yang lebih menonjol dengan hantaran jauh bagaimanapun tidak memberi kelebihan buat mereka.
Minit ke-58, Ashfaq membuat hantaran lintang ke depan gawang Perak sekali gus di manfaat Dramane Thaore yang menanduk gol kedua buat PDRM.
Kelincahan Ashafaq terus terbukti apabila berjaya memperdayakan dua pertahanan Perak dengan membuat gerakan solo selepas menerima bola dari Mohamadou Sumareh dan melepaskan rembatan pada menewaskan penjaga gol Perak, Zamir Selamat.
Sementara itu, Perak bangkit memberi tekanan kepada PDRM melalui dua oleh Thiago Junio De Aquino dan Horace James sebelum wisel penamat.
Keputusan itu menyaksikan Perak terus kekal di tangga ketiga liga berbanding PDRM di tangga kelapan dengan masing-masing berbaki lima perlawanan.

