'Penghibur' bakal mewarnai EPL 2015/16
Kurang lebih 24 jam lagi musim baru Liga Perdana Inggeris akan kembali menghangatkan suasana.
Dikenali sebagai antara liga paling mencabar di dunia, ada lima perlawanan bakal berlangsung malam esok, dimulakan dengan Manchester United menentang Tottenham Hotspur pada jam 7.45 malam (waktu Malaysia), diikuti Bournemouth - Aston Villa, Sunderland - Leicester City, Norwich City - Crystal Palace dan Everton - Watford.
Semua perlawanan itu berlangsung pada jam 10 malam.
Pada awal pagi Ahad, Chelsea pula akan melayan Swansea City.
Sementara menunggu detik itu berlangsung, mari lihat beberapa fakta menarik yang dapat disaksikan pada musim kali ini.
* Arsene Wenger - Jose Mourinho
Enggan bersalaman selepas perlawanan minggu lalu memang kebudak-budakan, tetapi ia membayangkan ada aksi lain yang lebih panas menanti selepas ini.
Kedua-dua mereka memang mahir memanipulasi keadaan untuk menjayakan perang psikologi masing-masing.
Lihat saja tindak-tanduk mereka pada musim lalu yang kadang-kadang kelihatan sangat provokatif.
Justeru, bagi Wenger dan Mourinho, kemenangan ke atas lawan mereka tentu sangat bermakna bagi membolehkan aksi sebegitu diteruskan.
* Louis van Gaal
Pengurus yang memiliki karakter unik (dan sukar dijangka). Jika hari ini dia kelihatan bengis dan perengus, esok van Gaal boleh menjadi lunak dan mesra.
Bagi sesetengah orang, van Gaal adalah satu lagi susuk Mourinho yang boleh mengucapkan kata-kata menarik dan tak terjangka.
Van Gaal juga boleh menyebabkan seseorang terpinga-pinga melalui pengucapan bahasa Inggerisnya yang berada pada 'kelas tersendiri'.
* Brendan Rodgers
Bos Liverpool ini nampak begitu tenang di tepi padang, sehinggalah pada detik begitu menggembirakan - dan dia tetap seperti tidak mempunyai apa-apa perasaan.
Antara isu menarik dilakukan Rodgers pada kali ini ialah membawa masuk pemain Aston Villa, Christian Benteke.
Dia kelihatan tidak tertekan walaupun membelanjakan begitu banyak wang kelab, dan tahun ini Rodgers berpeluang membuktikan bahawa sangkaan dan curiga peminat adalah salah (atau sebaliknya membuktikan peminat adalah betul).
* Watak baru
Kita dapat melihat pengurus termuda bagi musim 2015/16, iaitu Alex Neil yang diberi amanah mengendalikan Norwich City.
Berusia 34 tahun, dia dikenang peminat kerana berjaya membawa kelabnya ke saingan liga perdana namun tidak kurang menarik ialah untuk meneliti personalitinya.
Di Bournemouth pula ada Eddie Howe yang tuba empat tahun berbanding Neil. Howe dinamakan sebagai Pengurus Liga Perdana Terbaik Dekad ini, manakala bekas penyerang, Gary Lineker menggelar Howe sebagai The Special One versi England.
Di Watford pula ada Quique Sanchez Flores, 50. Apa yang menarik pada Flores? Bukanlah usianya tetapi dia menjadi pengurus kelima kelab berkenaan dalam tempoh setahun!
* Kerencaman budaya
Apabila EPL bermula pada 1993 sangat jarang ada pemain atau pengurus luar. Namun kini keadaan sangat berbeza apabila persaingan menjadi lebih sengit, termasuk dari aspek tajaan dan daya saing.
Sebagai contoh, di Watford dibarisi pemain dari 22 negara berbeza pada musim ini. Kelab itu juga memiliki hubungan tidak langsung dengan Australia apabila Harry Kewell kini menjadi jurulatih bagi pemain bawah 22 tahun.
* Penjaga gol
EPL kali ini diwarnai dengan ramai nama besar sebagai penjaga gol. Misalnya pemain kebangsaan Belgium, Thibaut Courtois yang bermain untuk Chelsea, David de Gea (MU), Petr Cech (Arsenal) dan Hugo Lloris (Spurs).
* Gaya pembolos gawang
Ada bermacam cara pemain sudah dan akan meraikan detik mereka membolosi gawang lawan. Antaranya menjerit ke arah peminat sediri, menggunakan jari membentuk simbol 'cinta' dan bermacam lagi cara yang kreatif.
* Jelitawan
Dengan keghairahan peminat dan ledakan media sosial, gaya hidup isteri atau teman wanita pemain EPL sentiasa diburu.
Memang tidak diragui mereka - digelar sebagai WAG (isteri dan teman wanita) - memainkan peranan penting dalam hidup seharian pemain, termasuk pertimbangan dalam penghijrahan kelab.
Khabar mengenai perpindahan de Gea ke Real Madrid, sebagai contoh, dikaitkan dengan keresahan teman wanitanya di Manchester.
Tahun ini juga penonton bakal dihiburkan dengan kemunculan seorang lagi watak jelita - Ana Ivanovic - yang sedang menjalin hubunan cinta dengan Bastian Schweinsteiger.

