Liga Malaysia: Bertahan PDRM ada makna
Mengecapi kemenangan ketiga berturut-turut selepas dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih pasti sesuatu yang mengembirakan untuk pengendali pasukan PDRM, Mohd Fauzi Pilus.
"Pertamanya atas berkat usaha pemain sendiri dan kita tahu kita mempunyai pemain yang berkualiti dan akhirnya Allah izinkan," kata Mohd Fauzi ketika ditemui selepas anak buahnya menewaskan KL Felda United di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Walaupun sekadar menang tipis 1-0, Mohd Fauzi dilihat begitu menghargai penat lelah barisan pemain pasukan berstatus kelab itu.
"Alhamdulillah saya bagi kredit kepada barisan pemain PDRM yang begitu komited sehingga akhir perlawanan, terutamanya kapten, Afiq Amiruddin dan pemain pertahanan.
"Begitu juga dengan pemain import yang bersemangat kerana kita tahu Felda satu pasukan yang begitu hebat," katanya.
Mengekalkan rentak dan momentun permainan selepas memperoleh jaringan, PDRM tampil dengan taktikal bertahan di saat akhir perlawanan.
Kini di tempat ketiga
Mohd Fauzi berkata, itu salah satu taktikal yang perlu dilakukan sambil mengakui pemainnya mengalami kepenatan.
"Pemain kita agak kepenatan, itu saya akui selepas kita berdepan dua perlawanan berturut-turut.
"Selepas pulang dari Sarawak kita cuma rehat sehari dan bermain semula bertemu satu pasukan yang hebat. Sebab itu kita lakukan strategi (bertahan) tersebut," jelas beliau.
Pada aksi ke-19 Liga Super itu, PDRM mendahului pasukan pelawat melalui jaringan tunggal seawal minit kelapan melalui tandukan pemain import Dramane Taore.
Sebelum ini, mereka mencatatkan keputusan cemerlang menewaskan Perak dan Sarawak serta seri bertemu Selangor semenjak Mohd Fauzi mengambil-alih tugas ketua jurulatih daripada Azman Adnan yang dipecat, Julai lalu.
The Cops kini mengumpul 31 mata pada kedudukan ketiga liga. Bagaimanapun kedudukan itu mungkin berubah bergantung kepada nasib Selangor, Terengganu dan Lions XII masing-masing mengumpul 29 mata yang akan beraksi malam ini bagi saingan ke-19.

