Review EPL: Karma untuk Mourinho?
Maka begitulah kesudahannya - Arsenal menang dengan gol cantik. Turut berkongsi status menang ialah Swansea, Leicester, Everton, Norwich dan Man City.
Watford dan West Bromwich pula seri 0-0, manakala Stoke dan Tottenham Hotspur terikat 2-2.
Ya, ada satu lagi perlawanan, iaitu skuad bergelar Syaitan Merah yang sekali lagi menang tipis. Ia bukanlah begitu penting terutama apabila mengenangkan perlawanan pertama mereka, kemenangan diperoleh hasil daripada 'gol derma' pasukan lawan.
Kemenangan City awal pagi tadi membolehkan mereka menjadi pasukan teratas LIga Perdana Inggeris dengan enam mata daripada dua perlawanan.
Telan pahit
Tempat kedua pula ialah Leicester yang kini dibawah kendalian Claudio Ranieri, diikuti Manchester United dan Everton.
Tiga pasukan teratas masing-masing memiliki enam mata namun City diletakkan paling tinggi kerana perbezaan gol, manakala Everton empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri.
Awal pagi tadi Jose Mourinho terpaksa menelan kepahitan apabila dibenam 0-3 oleh pemain Manuel Pellegrini.
Selepas menghukum doktor pasukan Chelsea, Eva Carneiro ( gambar ), yang membantu pemain mereka di atas padang, mungkin kekalahan The Blues adalah 'karma' paling sesuai untuk Mourinho.
Bermain retorik
Jangan-jangan, memang itu didoakan Eva. Maklumlah, doa orang teraniaya memangnya mustajab, kan?
Barangkali ini masa sesuai untuk Mourinho menukar fikiran dan mengembalikan Eva ke bangku pemain di tepi padang untuk berkhidmat kepada skuad The Blues.
Masih terlalu awal untuk menilai kedudukan carta EPL ketika hanya dua perlawanan dilalui setiap pasukan. Perjalanan baru bermula dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku pada masa depan.
Diego Costa cedera, misalnya, atau Raheem Streling merajuk dengan Pellegrini. Mungkin juga Stoke City mampu ke perlawanan akhir Piala FA dan berdepan Arsenal yang menunggu sebagai juara bertahan sekali lagi.
Liverpool? Untuk sementara biarkan sajalah. Ia bukan terlalu penting terutama apabila ia melibatkan sebuah kelab yang kekal terikat dengan retorik serta kenangan 10 tahun lalu.
Keputusan minggu kedua:
Aston Villa 0 - 1 Man United
Southampton 0 - 3 Everton
Watford 0 - 0 West Brom
Sunderland 1 - 3 Norwich City
Tottenham 2 - 2 Stoke
West Ham 1 - 2 Leicester City
Swansea City 2 - 0 Newcastle
Crystal Palace 1 - 2 Arsenal
Man City 3 - 0 Chelsea

