Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata beliau yakin pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei mampu meraih pingat emas pada acara sukan Olimpik 2016 di Rio.

Walaupun pemain itu berusia 33 tahun, namun Khairy berkata Chong Wei masih lagi menjadi harapan buat negara kerana beliau sebelum ini pernah mengalahkan pemain dari China, Lin Dan dan Cheng Long.

"Saya tidak hilang harapan pada Chong Wei walaupun dia dah berumur tapi dia pernah tewaskan Lin Dan serta Cheng Long.

"Kita perlu berikan persediaan yang betul kepada Chong Wei untuk Olimpik.

"Chong Wei masih lagi harapan kita untuk perseorangan lelaki. Jadi kita kena bekerja bersama Chong Wei dan duduk bersama untuk lihat apa kita boleh tingkatkan dari segi teknik dan segala aspek permainan untuk kalahkan Cheng Long dan Lin Dan," katanya.

Khairy berkata demikian dalam sidang media selepas memperkenalkan penaja untuk Hari Sukan Negara di Putrajaya hari ini.

Mengulas siapa yang layak menggantikan Chong Wei selepas bersara, Khairy berpendapat bekas juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli berpotensi menggantikan Chong Wei.

"Saya lihat Zulfadli ada potensi dan kita cuba minta dia masuk dalam sistem (Persatuan Badminton Malaysia) BAM.

"Bila tanya siapa seterusnya, Zulfadli adalah orang yang berpotensi," kata Khairy.

Bagaimanapun, ahli parlimen Rembau itu berkata, walaupun Chong Wei menyatakan hasrat untuk bersara selepas sukan Olimpik, namun sokongan kepada bekas pemain nombor satu dunia itu tetap perlu diberikan.

"Dia beritahu saya yang dia akan bermain sehingga sukan Olimpik. Ya, dia pemain yang berusia tetapi dia masih lagi yang terbaik.

"Kita perlu sokong dia dan memastikan dia dapat lakukan yang terbaik dalam Olimpik nanti. Ini juga merupakan peluang yang penting untuk kita mencari pemain baru," kata Khairy lagi.

Lihat Komen
ADS