Cadangan menggunakan pemain naturalisasi dalam skuad Harimau Malaya adalah satu isu yang agak kompleks, kata Pengarah Teknikal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Andy Roxburgh.

Sebaliknya Roxburgh menegaskan menggunakan pemain tempatan adalah lebih baik kerana mereka akan lebih bersungguh-sungguh beraksi untuk tanah air sendiri.

"Saya ada mengikuti isu ini (cadangan menggunakan pemain naturalisasi) selepas perlawanan antara Malaysia dan Liverpool. Ia adalah isu yang rumit.

"Bagi saya, sesetengah penyokong dan penduduk negara ini, mungkin tidak menyukainya.

"Tapi pada masa sama, anda boleh mendapatkan pemain yang diperlukan. Kita dapat lihat dalam bola sepak antarabangsa, tiada perpindahan pemain yang membabitkan pembelian untuk mewakili sesebuah negara," katanya kepada Bernama di Persidangan Jurulatih Nasional AFC, di Kuala Lumpur semalam.

Kena syarat ketat

Roxburgh berkata kebiasaannya dalam bola sepak antarabangsa, pemain yang layak beraksi untuk negara mereka, akan memilih bermain untuk negara sendiri.

Katanya, tiada istilah negara angkat untuk seseorang pemain mewakili skuad kebangsaan kerana pemain tempatan sebenarnya lebih bersemangat menyarung jersi negara.

"Ia berbeza jika mereka sudah bermastautin untuk lima tahun atau lebih serta beraksi dalam liga tempatan. Bagi saya, ia lebih berbentuk kompromi.

"Jika anda sedia melaksanakannya, ia seharusnya dengan syarat ketat seperti sudah berapa lama mereka bermastautin dan adakah mereka (pemain naturalisasi) benar-benar komited," katanya.

Bagaimanapun, Roxburgh berkata keputusan akhir masih terletak di tangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Julai lepas, ketua jurulatih negara, Dollah Salleh ( gambar ) menyatakan dia mengalu-alukan cadangan menggunakan pemain naturalisasi untuk pasukan kebangsaan jika mampu meningkatkan bola sepak tempatan.

Ia turut menerima sokongan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

- Bernama