Kelab Inter Milan bersetuju membebaskan pemain antarabangsa Croatia, Mateo Kovacic untuk menyertai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Menurut laporan akhbar Sepanyol, juara 10 kali kelab Eropah tersebut akan membayar £24.8 juta (RM159.1 juta) bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 21 tahun itu.

"Real Madrid dan Inter Milan bersetuju dengan perpindahan Mateo Kovacic, yang akan mengikat kontrak dengan Bernabeu selama enam musim," kata kenyataan dibuat kelab Sepanyol itu semalam.

Kovacic memulakan kerjayanya sebagai pemain profesional di negara sendiri dengan menyertai Dinamo Zagreb sebelum berpindah ke Inter Milan dua tahun yang lalu.

Sepanjang menyertai persaingan dalam Serie A, Kovacic berjaya menjaringkan lapan gol daripada 97 penampilan bersama Inter.

Jurulatih Inter, Roberto Mancini mengakui awal minggu ini, tekanan kewangan semasa  memaksa kelabnya menjual Kovacic walaupun pemain itu dianggap sebagai aset kelab.

"Adakah saya kecewa dengan situasi Kovacic?

"Ia memalukan, tetapi malangnya ada peraturan yang perlu kita dipatuhi," katanya.

Kovacic dijangka akan diperkenalkan kepada pihak media dan penyokong kelab secara rasmi sebagai pemain Real Madrid hari ini.

Real, yang menamatkan kempen La Liga di tempat kedua musim lalu akan memulakan kempen musim 2015/2016 menentang kelab Sporting Gijon pada 23 Ogos ini.

Liverpool antara kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat Kovacica yang dianggap pengganti ideal menggantikan Steven Gerrard namun terpaksa menarik diri daripada saingan kerana gagal bersetuju dengan yuran perpindahan diminta Inter.