Kejayaan Manchester United (MU) menewaskan kelab Brugge 3-1 pada saingan prakelayakan Liga Juara-juara Eropah malam tadi pastinya mengembirakan penyokong termasuk di Malaysia.

Bagaimanapun, perasaan simpati juga boleh dilahirkan kepada Brugge kerana salah seorang pemain yang beraksi - dan cuba mengekang serangan MU - adalah anak kelahiran Malaysia.

Dion Cools, 19,  lahir di Sarawak sebelum ibunya - yang merupakan warga Malaysia - mengikut bapanya menetap di Belgium.

Bermain di posisi pertahanan kanan, Cools bagaimana pun gagal mengekang kemaraan pemain MU untuk membantu pasukannya.

Namun di sebalik kekalahan itu, Cools tetap boleh berbangga kerana dia diberi peluang beraksi sepanjang 90 minit perlawanan di Old Trafford.

Cita-cita Cools

Cools ditugaskan mengekang penyerang MU, Memphis Depay, tetapi kurang berkesan sehingga membolehkan pemain Red Devils juga memperoleh ruang untuk bergerak.

Hasilnya, Depay menjaringkan dua daripada tiga gol MU.

Cools dilaporkan baru menyertai Brugge - juara 13 kali liga Belgium - bulan lalu selepas mempamerkan aksi memberangsangkan ketika mewakili satu lagi kelab negara itu, Oud-Heverlee Leuven.

Dia kini bercita-cita mewakili pasukan bawah 21 tahun Belgium dan belum membuat keputusan sama ada mahu mewakili Belgium atau Malaysia pada masa depan.

Sementara itu Depay tetap tidak berpuas hati dengan prestasinya kerana gagal menjaringkan hatrik buat MU.

"Saya sangat gembira berjaya menghasilkan gol dan menyumbangkan kemenangan pasukan kami. Saya mencipta beberapa peluang dan sepatutnya saya menghasilkan hatrik," pemain dari Belanda itu.

Bagi Van Gaal pula, sikap Depay yang mahu menghasilkan lebih jaringan itu dikagumi beliau.

"Pemain perlu tahu apa yang dilakukan dan juga apa yang boleh dilakukan. Seterusnya kemahuan lakukan lebih baik, itulah Memphis (Depay)," katanya yang melabur £25 juta (RM159.5 juta) untuk membawa pemain itu ke Old Trafford.