Hanya keajaiban - itulah yang diharapkan penyokong pasukan JDT menjelang dua perlawanan terakhir Liga Super bagi membolehkan mereka mengekalkan kejuaraan pernah dijulang kelab itu musim lalu.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak JDT, Azman Abd Jalil berkata, walaupun pesaing terdekat - Pahang - ketika ini mempunyai kelebihan meraih gelaran itu, mereka yakin tiada yang mustahil buat JDT.

Menurut beliau, selain menang, sukad Harimau Selatan perlu mencipta sebanyak mungkin gol dan mengurangkan kesilapan terutamanya di bahagian pertahanan.

"Apa yang kita lihat sekarang JDT ada kelemahan di bahagian pertahanan. Ketiadaan tonggak pertahanan iaitu Marcos Antonio menjejaskan benteng pasukan.

"Jadi, pemain pertahanan JDT yang dipilih beraksi tidak boleh melakukan kesilapan seperti pertemuan dengan Kelantan sebelum ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tewas 1 - 4 kepada Kelantan sebelum ini, ia dianggap rekod kekalahan paling buruk buat JDT sepanjang musim ini.

Penyokong mainkan peranan

Mereka berkongsi 43 mata dengan Pahang sebagai pendahulu liga dengan kelebihan sembilan jaringan.

Azman berkata, melalui baki dua perlawanan sebarang kemungkinan boleh berlaku walaupun bergantung kepada keputusan melibatkan Pahang.

"JDT perlu beri persembahan melebihi 100 peratus. Kedua-dua perlawanan terakhir ini perlu dimenangi dengan jaringan besar dan pada masa sama gol kami tidak bolos," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tahap sambutan penyokong kepada JDT katanya, penyokong telah beri komitmen memberangsangkan.

"Kita sebagai penyokong memainkan peranan penting untuk menyuntik semengat setiap kali pemain beraksi.

"Saya rasa JDT sudah memiliki kekuatan penyokong yang sentiasa memenuhi stadium, lebih-lebih lagi di penghujung musim. Kini perlawanan malam ini pun sudah habis dijual," jelas Azman.

JDT akan dicabar Perak malam ini pada aksi di Stadium Larkin. Mampukah gelanggang keramat mereka memberi keajaiban sebelum melangkah ke perlawanan terakhir Sabtu ini?