EPL: Aksi sulung Shaqiri Sabtu ini
Pemain kebangsaan Switzerland dan bekas ayam tambatan Bayern Munich, Xherdan Shaqiri, dilaporkan sedia untuk membuat penampilan pertama bagi kelab terbarunya, Stoke City.
Stoke adalah skuad yang mencalar teruk ego Liverpool dalam perlawanan terakhir kedua-dua pasukan di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.
Menurut media, Shaqiri akan diturunkan Mark Hughes ketika The Potters menentang Norwich City hujung minggu ini.
Memetik kenyataan Penolong Pengurus Stoke, Mark Bowen, Shaqiri menunjukkan keserasian baik dengan pemain lain kelab berkenaan dalam latihan.
"Dia membuka mata banyak orang. Kami teruja dengan apa yang ditunjukkannya setakat ini," kata Bowen.
Shaqiri, 23, menyertai Stoke dengan rekod perpindahan tertinggi kelab itu - £12 juta (RM77.3 juta).
Dia tidak boleh diturunkan ketika The Potters menentang Tottenham Hotspur pada Sabtu kerana menjalani penggantungan satu perlawanan - hukuman dikenakan ketika dia bermain untuk Inter Milan.
Stoke dan Spurs seri 2 - 2 dalam perlawanan berkenaan.
Kata Bowen, kelab dan peminat tidak sabar untuk melihat kelibat Shaqiri menyarung jersi belang putih merah untuk kali pertama di EPL.
"Mengikut jangkaan Shaqiri akan menjadi pemain pujaan ramai peminat di Stoke.
"Salah satu yang menarik perhatian saya ialah kualiti sentuhan pertamanya serta kebolehan mengumpan bola di tempat yang sukar," katanya.

