Kini Selangor benar pemain sertai skuad kebangsaan
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kali ini mengizinkan pemain mereka menyertai skuad kebangsaan yang dipersiapkan untuk menghadapi perlawanan persahabatan menentang Bangladesh.
Perlawanan itu dijadual berlangsung pada 29 Ogos ini.
Pengurus The Red Giants, Amirudin Shari berkata, kebenaran diberi kerana perlawanan persahabatan berkenaan diadakan selepas saingan Liga Super 2015 berakhir.
"Kita izinkan kerana pasukan tidak dibelenggu dengan jadual padat seperti sebelum ini," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Pada perlawanan persahabatan menentang kelab gergasi England, Liverpool, Julai lalu, Selangor membuat keputusan tidak membenarkan pemainnya beraksi bersama skuad pilihan Malaysia.
Keputusan itu menyebabkan tiga pemain yang dinamakan jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh, tidak melaporkan diri seperti sepatutnya.
Keputusan FAS itu adalah pelanggaran perintah dibuat FAM.
Minggu lalu FAM menamakan Ahmad Hazwan Bakri sebagai calon pemain untuk mewakili Malaysia menentang Bangladesh.
Semua 21 pelatih dikehendaki melaporkan diri di kem latihan pada 23 Ogos ini.
Sementara itu, Amirudin berkata, FAS kini sedang menyediakan jawapan bertulis kepada FAM berikutan tidak membenarkan pemain mereka beraksi pada perlawanan menentang Liverpool.

