'Bisa senjata sulit' Chelsea sambar Pedro
Hanya dua hari selepas Naib Pengerusi Manchester United, Ed Woodward, terbang ke Barcelona untuk membawa pulang penyerang kelab gergasi Sepanyol itu, The Red Devils diaibkan dengan dramatik.
Ketika pegawai MU berusaha memuktamadkan perjanjian dengan Pedro, tanpa mereka disedari di Stamford Bridge pengurusan Chelsea sudah memulakan 'Operasi Pedro'.
Ia memang berhasil.
Semalam Pedro terbang ke London untuk menjalani ujian kecergasan sebagai salah satu syarat melengkapkan perpindahan ke Stamford Bridge.
Apakah yang berlaku sebenarnya?
Ketika Woodward masih terkial-kial di Barcelona, Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia menjalankan rundingan langsung secara rahsia dengan Barca, manakala Jose Mourinho dan Cesc Fabregas - dengan izin Barca - berbincang secara langsung dengan Pedro.
Jika anda menyangka itulah pakej lengkap Operasi Pedro, anda sebenarnya salah.
Untuk mengukuhkan lagi hasil rundingan, Chelsea menggunakan satu lagi 'senjata sulit' mereka - teman wanita Fabregas, Daniella Semaan.
Faktor van Gaal, Valdes
Daniella ditugaskan berhubung dengan isteri Pedro, Carolina Martin untuk meyakinkan mereka bahawa perpindahan ke Stamford Bridge memang sesuatu yang berbaloi.
Fabregas memang berkawan baik dengan Pedro ketika mereka sama-sama menyarung jersi Barca dan pasukan kebangsaan Sepanyol.
Daniella pula mengenali Carolina dengan baik.
Akhirnya Operasi Pedro itu berjaya dan pemain buruan MU berkenaan membulatkan tekad untuk memilih Chelsea - dan The Red Devils sekali lagi berputih mata.
Ketika Woodward menolak berita mendakwa ada isu mengenai yuran perpindahan dan MU menafikan tidak berminat lagi kepada Pedro, penyerang berusia 28 tahun itu sudah menaiki kapal terbang ke London.
Sumber lain memberitahu rundingan itu gagal kerana faktor perseteruan antara Louis van Gaal dengan bekas penjaga gol Barca, Victor Valdes.
Sejak berpindah ke Old Trafford, Valdes seakan-akan disimpan dalam peti beku kerana tidak diturunkan beraksi.

