Satu komen pembaca berita sukan Malaysiakini malam tadi mungkin nampak bersahaja dan bergurau. Tetapi kejuaraan JDT dalam Liga Super dan kekecewaan Pahang mencabar tetap dikaitkan dengan senario politik semasa.

Betapa kuat kemelut politik negara begitu terkesan kepada rakyat - sehingga hal sukan juga dibidas dengan hujah politik.

"Padan muka Najib, tahniah Muhyiddin... haha" tulis pengguna Facebook, Dannie Funk'er beberapa jam selepas wisel penamat ditiup pengadil di Stadium Selayang dan Kuala Terengganu, malam tadi.

Kejuaraan JDT itu - walaupun kalah kepada Felda United - diibaratkan sebagai kemenangan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan daripada kabinet manakala kekalahan Pahang adalah bagai pembalasan untuk Datuk Seri Najib Razak.

Semua kita sedia maklum pengguguran Muhyiddin dan beberapa tokoh lain dalam Umno masih segar. Malah ia menjadi inti dan pati kepada ucapan ketika bahagian Umno bermesyuarat sekarang.

Sepatutnya bola adalah bola, dan politik adalah politik. Jika ada politik dalam bola pun, biarlah politik dalam sifatnya yang jujur dan tidak mencatas-cantas.

Panggil tapi tak hadir

Sepanjang 2015 ini ada banyak juga drama dapat disaksikan dalam Liga Super atau Liga Perdana.

Antaranya isu jadual perlawanan yang mencetuskan pertikaian, masalah perlawanan di bulan puasa, mutu pengadilan dan rusuhan menyokong.

Selain itu, ada pula kes pemain yang dipanggil untuk sertai skuad kebangsaan tidak melaporkan diri, persatuan didenda, kemelut dalaman sehingga hal-hal klise seperti pecat jurulatih, jurulatih letak jawatan dan seumpamannya.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak JDT, Azman Abd Jalil ( gambar ) menyifatkan musim 2015 penuh warna-warni di sebalik kejayaan pasukan itu meraih kejuaraan buat kali kedua.

Mengakui penyokong JDT juga terlibat dalam isu-isu yang mencetuskan sensitiviti di kalangan penyokong, beliau berharap situasi itu tidak lagi berlaku di masa hadapan.

"Kita sebagai penyokong perlu mengubah minda dan mentaliti supaya bola sepak Malaysia lebih matang di masa akan datang.

"Buanglah perasaan dendam dan iri hati serta tanamkan rasa hormat antara satu sama lain di kalangan penyokong. Janganlah provokasi menjadi budaya sehingga dicemari insiden pergaduhan sesama penyokong," katanya kepada Malaysiakini .

Tak perlu politik

Seputar isu bola sepak negara, banyak juga pihak menyalahkan FAM. Dalam berita dilaporkan Malaysiakini, jika ia membabitkan badan induk bola sepak itu, akan banyak komen bernada keras atau sinis terhadap FAM.

Suara mendesak FAM menjalani proses overhaul misalnya, adalah salah satu isu popular. Peminat beranggapan orang politik kepartian tidak harus dilibatkan dalam badan itu.

Atau ayat yang mungkin lebih tepat ialah - orang politik tak payah menyibuk dalam FAM, serta persatuan sukan lain.

Kita memerlukan sesebuah badan sukan bebas daripada pengaruh politik kepartian atau keperibadian. Bukanlah orang politik itu memualkan semuanya. Ada juga ahli politik yang jujur, ikhlas dan bersungguh-sungguh menyumbang untuk sukan.

Bola sepak dan sukan tidak memerlukan ahli politik yang pertama. Dan kalau ada pilihan orang politik kelompok kedua juga jangan dilibatkan. Kalau ada pilihanlah.

Sementara itu apahkah kita aku terus dibelenggu polemik mengenai kedudukan, naturalisasi pemain, jurulatih terbaik dan sikap pilih kasih pihak berkepentingan?