Van Gaal komen, de Gea marah
Sejurus selepas berakhir perlawanan menentang Newcastle Sabtu lalu, Louis van Gaal menjelaskan Manchester United tidak berhajat menjual penjaga gol mereka, David de Gea.
Ia kenyataan biasa tetapi ternyata tidak disenangi de Gea sendiri.
Ia dapat difahami kerana hubungan antara van Gaal dan de Gea memang buruk. Kedua-dua mereka tidak bercakap sejak beberapa bulan lalu.
Justeru komen pengurus dari Belanda pada Sabtu lalu hanya menambahkan lagi keruh sedia ada.
Beberapa hari lalu van Gaal mendakwa de Gea enggan diturunkan mewakili MU.
Ia menyebabkan peminat kelab berkenaan berang dengan sesetengahnya mengejek de Gea ketika dia menyaksikan perlawanan kelayakan Liga Juara-juara menentang Brugge (dari Belgium).
De Gea memang tidak lagi berminat bermain untuk MU dan berhasrat berhijrah ke Real Madrid.
Rakan dan kenalan rapat de Gea cuba menenangkan penjaga gol dari Sepanyol itu dengan meyakinkannya, kata-kata van Gaal sekadar menunjukkan rundingan sedang berlangsung.
Ejen bola sepak Jorge Mendes berkata dia sangat yakin perpindahan itu akan menjadi kenyataan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Pintu perpindahan pemain untuk kelab di Sepanyol akan ditutup Isnin depan.
Ia bermakna jika de Gea memang akan angkat kaki dari Old Trafford ke Madrid, ia mesti berlaku dalam tempoh lima hari dari sekarang.

