Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua jurulatih sementara skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee meminta pemain melupakan kekalahan memalukan dibelasah 0 - 10 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Asia 2019, di Abu Dhabi Khamis lepas.

Sebaliknya, pengendali skuad Bawah 23 (B-23) kebangsaan itu meminta pemain memberi tumpuan kepada aksi seterusnya berdepan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Kim Swee yang dilantik oleh FAM bagi menggantikan Dollah Salleh yang meletak jawatan semalam, susulan kekalahan memalukan itu, mengakui berdepan tugas mencabar namun sedia memikul peranan berkenaan sebaik mungkin.

"Bagi saya, kita tidak boleh terlalu memikirkan kekalahan itu kerana ia tidak akan mengubah apa-apa. Yang penting, kita kembali fokus," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Kim Swee berkata kesemua pemain boleh menerima kehadirannya, memandangkan sebahagian daripada mereka pernah beraksi di bawah bimbingannya ketika dilantik sebagai pengendali sementara skuad kebangsaan selama empat bulan, dari 3 Feb 2014 hingga 28 Jun 2014.

Beliau dilantik selaku pengendali sementara skuad kebangsaan oleh FAM ketika itu selepas badan induk berkenaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak Datuk K Rajagobal yang berakhir pada 31 Dis 2013.

Kekal tercorot

Pada masa sama, Kim Swee meminta pemain memanfaatkan sepenuhnya tempoh tiga hari yang tinggal ini, bagi menilai kelemahan diri sebelum turun beraksi menentang Arab Saudi.

"Persiapan kita kini lebih kepada psikologi di mana bukan mudah untuk menerima keadaan seperti ini. Saya percaya pemain kita mempunyai kekuatan mental yang menunjukkan personaliti masing-masing, dan ini yang saya mahu lihat apabila menentang Arab Saudi nanti," kata Kim Swee.

Dalam pada itu, FAM menerusi catatan di laman Facebook menyatakan Kim Swee telah memanggil lima pemain baru untuk aksi menentang Arab Saudi.

Mereka ialah dua pemain skuad Harimau Muda B (B-22) iaitu Ramadhan Hamid dan Adam Nor Azlin, selain Mohd Fadhli Shas (Johor Darul Ta'zim), Ahmad Fakri Saarani (Kelantan) dan pemain tengah Perak, Nurridzuan Abu Hassan.

Enam pemain sedia ada pula digugurkan oleh Kim Swee bagi melengkapkan senarai 23 pemain menentang Arab Saudi.

Mereka ialah Zamir Selamat dan Zubir Azmi, kedua-duanya cedera; Nor Farhan Muhammad, Ahmad Syamim Yahya, Syahrul Azwari Ibrahim dan S Kumaahran.

Malaysia kekal menghuni tangga tercorot Kumpulan A selepas mencatat satu keputusan seri dan dua kekalahan termasuk diaibkan 0-6 oleh Palestin pada aksi sebelum ini, di laman sendiri.

Lihat Komen
ADS