Tak betul Kim Swee mahu berundur
Jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee bukan saja menafikan laporan media kononnya akan 'angkat kaki' daripada membimbing pasukan kebangsaan, malah nampaknya tetap bersemangat meneruskan tugasnya.
Kata Kim Swee, apa yang dilaporkan media hari ini hanyalah spekulasi semata-mata.
"Saya masih lagi pengendali pasukan (Harimau Malaya) walaupun memegang status jurulatih sementara .
"Saya akan teruskan tugas ini sehingga dimaklumkan oleh FAM kelak. Tidak timbul isu saya letak jawatan. Saya serahkan kepada FAM untuk tentukan ," katanya kepada Malaysiakini.
Kim Swee dilantik sebagai pengendali sementara Harimau Malaya selepas Dollah Salleh melepaskan jawatannya ekoran kekalahan memalukan kepada Emiriah Arab Bersatu pada minggu lalu.
Perlawanan pertama skuad kebangsaan di bawah Kim Swee ialah menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam pada Selasa lalu.
Turun padang lagi
Malaysia memang tertinggal 1 - 2 tetapi insiden lebih menjadi perhatian ialah tindakan sekumpulan penyokong membaling suar ke padang sehingga memaksa pengadil memberhentikan permainan pada minit ke-88.
Ia bukan sangat disebabkan kemarahan penyokong kepada keputusan semasa tetapi kekecewaan mereka kepada prestasi ditunjukkan badan induk bola sepak negara, FAM.
Ditanya persiapan meneruskan saingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, Kim Swee berkata beliau akan mengenalpasti pemain yang akan dipanggil untuk menyertai pasukannya.
"Buat masa ini semua pemain sudah balik ke pasukan negeri dan kelab masing-masing untuk menghadapi Piala Malaysia.
"Saya akan turun menyaksikan beberapa perlawanan itu (Piala Malaysia) untuk melihat prestasi semasa pemain," katanya.
Tambah beliau, pelatih skuad kebangsaan akan dipanggil semula pada 4 Oktober depan untuk persiapan menentang Timor Leste bagi perlawanan pusingan kedua.

