Van Gaal sayang de Gea dalam diam
Walaupun sudah memanjangkan kontrak dengan Manchester United, David de Gea dilihat belum berhasil memikat hati Louis val Gaal untuk turun beraksi.
Van Gaal dilaporkan belum pasti sama ada mahu menggunakan khidmat de Gea atau tidak pada saingan genting menentang Liverpool awal pagi nanti.
Bagaimanapun jurulatih dari Belanda itu mengakui gembira dengan penyambungan kontrak de Gea selepas penjaga gol itu dilanda kontroversi pada musim perpindahan lalu.
Beraksi di gelanggang sendiri, perlawanan antara dua musuh tradisi itu dijangka panas seperti perlawanan lain sebelum ini.
Rekod sejak 1992 mencatatkan sebanyak 16 kad merah dikeluarkan pengadil apabila kedua-dua pasukan itu bertembung di padang.
Walaupun de Gea merupakan penjaga gawang utama Man United musim lalu, van Gaal berpendapat dia perlu memperbaiki kesilapannya dalam sesi latihan sehingga diangap benar-benar layak menentang The Reds .
"Adakah anda akan dapat melihat dia bermain atau tidak - tiada siapa tahu kerana kami perlu menilai de Gea berdasarkan sesi latihan," kata Van Gaal seperti dilaporkan Sky Sports .
Mengulas mengenai kegagalan perpindahan pemain itu ke Real Madrid, van Gaal mengaku dia tidak pernah berhasrat menjual penjaga golnya.
Malah van Gaal menyifatkan de Gea salah seorang penjaga gol terbaik di dunia ketika ini.
"Saya selalu mempunyai harapan hingga saat terakhir. Walaupun semua media melaporkan dia akan ke Real Madrid, saya tak mahu menjualnya. Kami tidak akan menjualnya dan dia masih di sini.
"Dia juga pemain terbaik saya tahun lalu. Bukan sebab dipilih oleh penyokong, tetapi dipilih rakan-rakan pemain," kata pengurus berusia 64 tahun itu.

