Sekilas fakta bola sepak Eropah hari ini
Pardew untuk England
Pengurus West Bromwich Albion Tony Pulis mencadangkan nama rakan sejawatannya untuk Crystal Palace, Alan Pardew sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan England.
Anak buah Pulis dan Pardew akan bertembung di Selhurst Park pada Sabtu ini dalam saingan terkini EPL.
Pulis pernah memberikan khidmat kepada Palace. Pardew pula adalah pengurus Newcastle sebelum dia dipecat dan ditawarkan pula jawatan di Palace.
Kata Pulis, jik FA England mahu menggantikan pengurus semasa England, Roy Hodgson, Pardew adalah orang yang paling sesuai.
Rodgers tetap selamba
Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers menafikan dia 'kepanasan' di sebalik keresahan peminat The Reds.
Tekanan semakin memuncak ekoran prestasi suram kelab berkenaan.
Prestasi semasa menunjukkan Liverpool hanya menang sekali daripada lapan perlawanan ditempuhinya.
Awal pagi tadi mereka dipaksa seri dengan kelab Switzerland, FC Sion dalam saingan Liga Europa.
Namun Rodgers berkata dia atau peminat tidak perlu panik dengan keadaan sekarang.
Bos Dortmund kutuk perusuh
Ketua Pegawai Eksekutif Borussia Dortmund, Hans-Joachim Watzke mengecam peminat kelab berkenaan yang terbabit dalam rusuhan di permulaan separuh masa kedua pertemuan dengan PAOK (dari Greece) awal pagi tadi.
Perlawanan berlangsung di bandar Thessaloniki.
"Kekecohan dimulakan penyokong Dortmund dan kelakukan begitu tidak boleh diterima," katanya.
Menurut Watzke, kelab itu pasti akan didenda tinggi kerana menyebabkan perlawanan terganggu ekoran keganasan sebahagian penyokongnya.
Kekecohan pertama mendorong pengadil memberhentikan perlawanan selama beberapa minit apabila suar dan mercun dilempar ke padang.
Selepas perlawanan taman, penyokong Dortmund bertempur pula dengan polis Greece
Lapan orang penyokong dari Jerman ditahan.
Van Gaal waspadai Arsenal
Mencatat kemenangan di gelanggang Eropah dan lawan kalah untuk kali kedua berturut-turut, namun Louis Van Gaal tetap berhati-hati mendepani Arsenal Ahad ini.
Ketika The Gunners bakal berdepan gerasai Bundesliga, Bayern Munich, untuk terus bernafas dalam Liga Juara-juara, Van Gaal dapat memahami bagaimana Arsene Wenger akan melakukan sebaik mungkin untuk menghilangkan kedukaan mereka.
"Kami gembira (kerana menang mengatasi Wolfsburg) tetapi di Stadium Emirates kami menjangkakan cabaran sengit daripada Arsenal," katanya.
Kenyataan Van Gaal itu bukanlah semberono.
"Mereka sudah melakukannya banyak kali," kata jurulatih dari Belanda itu.
Liverpool tanpa pemain tempatan
Ada sesuatu lebih menarik pada pertemuan Liverpool dan Everton di Goodison Park Ahad ini.
Dikenali sebagai kelab yang pernah menggahkan Inggeris, Liverpool akan turun tanpa seorang pun pemain tempatan.
Kali terakhir keadaan itu berlaku di Merseyside adalah pada perlawanan akhir Piala FA pada 1986.
Pemergian Steven Gerrard ke kelab LA Galaxy menjadikan The Reds turun tanpa seorang pun pemain kelahiran tempatan.
Man United mahu Muller
Man United dilaporkan akan "melakukan apa saja" untuk mengikat penyerang berbisa Jerman dan Bayern Munich, Thomas Muller pada sesi perpindahan musim panas akan datang.
Untuk membawa Muller ke Old Trafford kelab berkenaan sedia menawarkan £71 juta (RM475.7 juta).
Mascherano dituduh menipu
Bekas pemain Liverpool, Javier Mascherano akan dibicarakan di Sepanyol atas dua tuduhan menipu pihak berkuasa percukaian negara itu.
Kini bermain untuk kelab Barcelona, Mascherano dituduh mengelirukan bayaran percukaiannya membabitkan jumlah lebih 1.5 euro (RM7.4 juta).
Debuchy mungkin pergi
Pemain antarabangsa Perancis, Mathieu Debuchy dijangka mengkaji semula kedudukannya dalam skuad Arsenal selepas diketepikan daripada pasukan kebangsaannya.
Debuchy, 30, berpindah ke Emirates dengan bayaran £12 juta (RM80.4 juta) musim panas lalu.
Bagaimanapun langit tidak cerah untuknya apabila dia berdepan dengan masalah kecederaan. Pembedahan pada buku lali dan bahu menyebabkan dia terpaksa diketepikan daripada kesebelasan utama The Gunners.
Tempat Debuchy kini diisi Hector Bellerin.

