Siapa kata Coutinho mahu tinggalkan The Reds?
Ejen pemain tengah Liverpool Philippe Coutinho, Kia Joorabchian, menjelaskan pihaknya tidak menerima sebarang tawaran rasmi dari Barcelona mahu pun Real Madrid berhubung perpindahan pemain itu.
Menafikan perkara itu, Joorabchian berkata, Coutinho kini selesa dan bahagia bersama skuad The Reds.
Walaupun musim perpindahan belum dibuka, gosip perpindahan Coutinho bertiup kencang dan menjadi bahan laporan media.
Sebelum ini, rakan segenaranya, Neymar da Silva mengatakan pemain tengah itu dilihat sesuai dengan gaya permainan Barcelona.
Selain itu, Madrid juga dilaporkan memburu Coutinho walaupun dikhabarkan pemain dari Brazil itu memilih Barcelona.
"Laporan itu tidak benar. Coutinho begitu selesa di Liverpool. Dia sudah menandatangani kontrak jangka panjang yang menunjukkan minat dan komitmennya kepada Liverpool," kata Joorabchian.
"Sasaran Coutinho mahu membawa Liverpool layak ke Liga Juara-juara musim ini dan menjulang piala," tambahnya.

