Tanpa berselindung Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyasarkan FAM sekali lagi ketika menjelaskan pendapatnya mengapa bola sepak negara ini gagal membangun.

Kata Tunku Ismail, beliau perlu menyatakan pandangan dari semasa ke semasa kerana mendapati badan induk bola sepak negara kini "membuat keputusan yang tidak betul".

"Mengapa anda melantik jurulatih pasukan kebangsaan yang mempunyai sejarah mengatur perlawanan?" soal beliau dalam akaun Facebook Johor Southern Tigers yang dipetik daripada laporan fourthofficial.com.

Bagaimanapun Tunku Ismail tidak menyatakan siapakah jurulatih kebangsaan yang dimaksudkannya itu.

Tunku Ismail juga mempertikaikan bagaimana Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mendakwa beliau sebagai Presiden FAM tidak terlibat dalam pelantikan jurulatih negara pada tahun lalu.

Dalam temubual berkenaan, beliau juga membangkitkan sekali lagi isu pembahagian bayaran daripada hak penyiaran perlawanan bola sepak di negara ini.

“Ada yang mengatakan saya melakukannya untuk menarik perhatian orang ramai. Ada benarnya juga. Tetapi saya juga menyuarakan pendapat saya, kerana FAM terus menerus membuat keputusan yang tidak betul," kata Tunku Ismail.

Tiada ingin disembunyikan

Beliau memang bukan asing jika memberi kenyataan panas dan kontroversi membabitkan isu bola sepak negara.

Sebelum ini bakal Sultan Johor itu sudah beberapa kali menempelak FAM kerana didakwanya gagal membangunkan sukan bola sepak.

Sementara itu Tunku Ismail berkata Johor bukan sekadar mengenai bola sepak semata-mata, sebaliknya lebih daripada itu.

Pada pandangan Tunku Ismail tidak ada salahnya untuk beliau mempergunakan pasukan JDT sebagai "alat politik".

"Memang itulah yang saya lakukan. Saya tiada apa hendak disembunyikan,” katanya.

Beliau juga mengakui kenyataan "radikal" yang dibuatnya tidak semua diterima baik oleh orang politik di negara ini, terutama kalangan yang berjawatan dalam FAM.

Sesetengahnya membangkitkan isu usia beliau yang "terlalu muda" kerana Tunku Ismail lahir pada 30 Jun 1984 - bermakna beliau baru berusia 31 tahun.

Ada pihak lain pula dikatakan mendakwa beliau mahu mengalih perhatian ramai daripada kelemahan sendiri.

Namun beliau ada pandangannya sendiri - meminta orang ramai tidak menilainya berdasarkan usia sebaliknya "berdasarkan kelayakan dan merit dalam kenyataan-kenyataan” beliau.