Vega intai kerusi bos Fifa
Bekas pemain Tottenham Hotspur, Ramon Vega menyatakan kesediaan beliau untuk mengumumkan diri sebagai calon pengganti Presiden Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa), Sepp Blatter.
Vega yang juga bekas pemain kebangsaan Switzerland dijangka akan meramaikan calon pada pemilihan badan induk bola sepak dunia yang sedang dilanda konflik rasuah itu.
Dalam satu wawancara dengan The Guardian semalam, Vega turut menyeru Presiden Persekutuan Bola Sepak Eropah (Uefa), Michel Platini yang pernah menjadi calon terkuat sebagai Presiden Fifa supaya memberikan perhatian penuh kepada jawatannya sekarang.
Sementara itu, Blatter atau Platini sekarang digantung jawatan mereka sementara menunggu hasil siasatan berhubung transaksi wang yang diterima didakwa berunsur rasuah.
Vega kini berusia 44 tahun dilaporkan berjaya membangunkan kerjaya dalam bidang kewangan selepas bersara sebagai pemain bola sepak. Beliau menyifatkan pengalaman yang dilalui memberi nilai tambah untuk menjadi calon Presiden Fifa sekali gus memulihkan reputasi badan tersebut.
"Saya bekas pemain bola sepak, beberapa tahun terakhir saya semakin jauh dari bola sepak. Tetapi saya berada dalam bidang kewangan, menjadi penasihat untuk kelab-kelab Eropah dari aspek kewangan dan penstrukturan," katanya seperti dilaporkan Daily Mail .
Platini boleh dihalang
Selain itu, Tengku Mahkota Jordan Putera Ali Al Hussein yang ditewaskan Blatter pada pemilihan Mei lalu dan menarik diri daripada pemilihan ketika Fifa dilanda skandal korupsi turut disebut calon sesuai pengganti Blatter.
Bekas ketua pasukan Trinidad dan Tobago, David Nakhid juga antara individu yang sudah mengumumkan diri untuk pemilihan Presiden Fifa yang dijangka berlangsung Februari 2016.
Vega berkata, Platini boleh dihalang untuk mencalonkan diri berikutan dakwaan yang dihadapinya bersama Blatter.
"Dia mesti berundur sebagai calon bos Fifa dan mempertahankan jawatan di Uefa walaupun pengelola UEFA mempunyai potensi untuk mencadangkan calon lain, tetapi mereka mungkin tidak akan bertindak kerana kesetiaan kepada Platini," jelas Vega.
Pada 9 Oktober lalu, Jawatankuasa Etika Fifa meggantung Blatter, Platini dan Setiausaha Agung Fifa, Jerome Valcke dan selama 90 hari. Bekas naib presiden Fifa Chung Mong-joon pula digantung selama enam tahun.

