Pemain Arsenal, Aaron Ramsey perlu direhatkan sekurang-kurangnya tiga minggu untuk membolehkan dia menjalani proese pemulihan akibat kecederaan otot paha.

Ia bermaksud, pemain posisi tengah itu terpaksa diketepikan untuk sekurang-kurangnya lima perlawanan membabitkan skuad The Gunners.

Kecederaan dialami Ramsey ketika Arsenal menewaskan Bayern Munich 2-0 pada aksi Liga Juara-juara di Emirates, Selasa lalu dan terpaksa dikeluarkan selepas berlanggar dengan David Alaba.

Semalam, pasukan perubatan Arsenal telah membuat penilaian terhadap kecederaan itu. Hasilnya, Ramsey terpaksa melupakan kariernya sementara waktu sehingga perlawanan antarabangsa dari 9 hingga 17 November depan.

"Saya yakin dia perlu diketepikan sehingga perlawanan antarabangsa berikutnya, manakala Gareth Bale juga menjadi mangsa pada aksi antarabangsa sebelumnya ketika menentang Andorra," kata Pengurus Arsene Wenger seperti dilaporkan web rasmi kelab.

Sementara Ramsey berehat, Arsenal bakal berdepan Everton, Sheffield Wednesday, Swansea City, Bayern Munich dan Tottenham Hotspurs.

Dia dijangka kembali turun pada pertemuan Arsenal dan West Bromwich Albion dalam aksi EPL pada 21 November.

Kecederaan otot paha bukan kali pertama dihadapinya, malah sejak April 2014 dia sudah mengalami empat kali kecederaan sama. Ramsey juga terpaksa berehat selama 97 hari pada musim 2014.

Bagaimanapun, selain Ramsey Arsenal juga ketiadaan David Ospina, Jack Wilshere, Tomas Rosicky dan Danny Welbeck yang turut mengalami kecederaan.