Pengurus baru Liverpool, Jurgen Klopp masih gagal meraih kemenangan pertama apabila sekadar seri 1 - 1 ketika melayan wakil kelab Rusia, Rubin Kazan, awal pagi tadi.

Ia adalah perlawanan kedua Liverpool di bawah kendalian Klopp.

Pada aksi ketiga kumpulan B Liga Eropah itu, The Kop ternyata gagal mengambil kesempatan bermain di gelanggang sendiri di Anfield dan pada satu ketika pasukan lawan hanya bermain dengan 10 orang.

Keghairahan anak buah Klopp kelihatan melonjak dengan mencipta 35 percubaan termasuk enam percubaan tepat ke gawang Kazan.

Penguasaan bola pula menunjukkan Liverpool mengawal sehingga 72 peratus secara keseluruhan.

Kazan mengejutkan penyokong The Kop seawal minit ke-15 apabila umpanan Kuzmin memperdayakan pertahanan tuan rumah berjaya dimanfaatkan Marko Devic.

Bagiamanapun, Liverpool kembali lega pada minit ke-37 apabila Emre Can berjaya menyamakan kedudukan.

Aksi tumpul anak buah Klopp itu menunjukkan pasukan itu belum mengalami perubahan drastik selepas Liverpool memecat Brendan Rodgers sebelum ini.

Pengkritik berpendapat, kedudukan Liverpool dalam saingan Liga Eropah itu bakal goyah sekiranya terus dibelenggu aksi tanpa kemenangan.

Mereka kini berada di kedudukan kedua kumpulan dengan pungutan tiga mata ketinggalan satu mata berbanding Sion di tangga teratas.

Selepas terpaksa berpuas hati dengan keputusan itu, Liverpool akan berkunjung gelanggang Kazan pada 6 November depan.