Terdesak mencari kemenangan namun pasukan PDRM ternyata terpaksa menelan kepahitan di tangan Pahang yang membenam mereka 0 - 3 di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Keputusan itu juga menjadikan The Cops terperuk di tempat tercorot - dengan lima mata hasil satu kemenangan dan dua seri - di belakang PKNS FC dan Pulau Pinang.

Kedudukan itu adalah hasil keputusan seri antara PKNS FC dan Pulau Pinang di Stadium Selayang.

Pulau Pinang terlebih awal mencipta gol melalui jaringan Lee Gil-hoon pada minit ke-16 namun kegembiraan mereka tidak bertahan sehingga ke wisel penamat apabila pemain PKNS FC, Mohd Alif Haikal Mohd Sabri menyamakan kedudukan di minit ke-43.

PKNS FC kini mengumpul lapan mata berbanding Pulau Pinang dan PDRM yang masing-masing memperoleh lima mata.

Bagaimanapun perbezaan jaringan meletakkan jurang antara dua pasukan terbawah kumpulan D itu.

Kalah tak bererti 'lumpuh'

Pahang yang mengalami dua kekalahan sebelum ini ternyata berjaya bangkit - sekali gus layak ke pusingan suku akhir - hasil jaringan Dickson Nwakaeme di minit ke-27 dan Martias Ruben Conti hanya kira-kira dua minit kemudian.

Pahang menjadi pasukan ketiga layak mengiringi Selangor dan JDT.

Dengan baki satu perlawanan lagi, kekosongan ke suku akhir dari kumpulan itu kelihatan masih terbuka walaupun di atas kertas kelebihan memihat kepada PKNS FC.

Bagi kumpulan A pula wakil Terengganu membenak JDT II dengan jaringan 2 -1 di Stadium Pasir Gudang.

Kejayaan pasukan pantai timur itu bagaimanapun belum memadai untuk mereka berasa selamat kerana berada di tempat ketiga di belakang Lions XII dan Kedah.

Gol kemenangan Terengganu dilakar Ismail Faruqi Ashari yang membuat jaringan ketika perlawanan berbaki kira-kira empat minit lagi.

Sebelum itu kedua-dua pasukan kebuntuan dengan jaringan 1 - 1 apabila Issey Nakajima-Farran menyumbat gol untuk pelawat sebelum ketua pasukan tuan rumah, Shahril Ishak menyamakan kedudukan di minit ke-34.

JDT II kini terpaksa menerika hakikat berada di kedudukan tercorot kumpulan A dengan 4 mata hasil satu kemenangan dan dua seri.

Terengganu pula berkongsi tujuh mata dengan Kedah tetapi faktor jaringan sekali lagi membezakan pasukan berkenaan.

Ketika Lions XII selesa di tempat teratas, Kedah dan Terengganu perlu menyusun strategi terbaik untuk menyelitkan diri sebagai lapan pasukan terbaik bagi persaingan suku akhir nanti.

Ketiga-tiga perlawanan malam ini sepatutnya diadakan pada 3 Oktober lalu tetapi ditunda akibat masalah jerebu serius.