Di atas kertas, Palestin sudah membuktikan mereka mampu menang mudah. Perkiraan di atas kertas juga menunjukkan skuad Harimau Malaya sukar menterbalikkan realiti itu.

Sebelum ini sejarah berkisah bahawa gawang kita dibolosi enam kali pada perlawanan pertama menentang Palestin di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 Jun lalu.

Esok, Palestin tidak membawa Malaysia ke negara mereka. Perlawanan akan berlangsung di gelanggang berkecuali di Amman, Jordan.

Logiknya, tentulah pasukan Palestin - sebagai tuan rumah - hilang kelebihan beraksi di laman sendiri dalam saingan kelayakan kumpulan A Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 itu.

Di atas kertas - sekali lagi - ia kelihatan seperti peluang untuk anak buah Datuk Ong Kim Swee mempamerkan kekuatan sebenar dan mengkhabarkan berita baik dari Jordan untuk peminat bola sepak di negara ini.

Harapan itu tetap ada dan menggunung walaupun pada perlawanan pusingan pertama pasukan negara gagal mempertahankan gawang walaupun bermain di tempat sendiri.

Seperti kata bestari - tiada yang mustahil di ini dunia.

Sudah perah keringat

Perlu diingat ketika Harimau Malaya dilemaskan Palestin dulu, skuad negara masih di bawah bimbingan jurulatih Dollah Salleh.

Sejak Kim Swee mengambil alih, Harimau Malaya kelihatan membuat penampilan berbeza. Pemilihan pemain muda dan penerapan taktikal baru sedikit sebanyak telah mengubah persembahan pasukan.

Malahan, Kim Swee membuktikan sentuhannya mampu menundukkan Timor Leste pada 13 Oktober lalu Stadium Municipal, Dili.

Peluang untuk menang tentunya terbuka untuk Malaysia dan seharusnya boleh mengambil kesempatan itu atas faktor keletihan yang dikatakan melanda skuad Palestin.

Kelmarin, Palestin sudah memerah keringat sebelum berjaya mengikat Arab Saudi dalam perlawanan yang berkesudahan seri tanpa jaringan, juga di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan.

Kalau pemain Palestin letihlah.

Barisan pemain negara pastinya sedar kejayaan Palestin mengikat kemaraan Arab Saudi itu membuktikan pasukan mereka tidak mudah ditewaskan. Tetapi, mereka juga mengambil kegagalan Palestin menewaskan Timor Leste sebagai motivasi untuk bangkit.

Tak banyak pilihan

Senario bola sepak skuad kebangsaan memang begitu dicemuh sebahagian penyokong tempatan. Kekalahan besar, tidak konsisten, kejatuhan ranking menjadi penyebab penyokong begitu bosan dan memilih untuk lebih mengambil tahu kejohanan atau liga-liga luar negara.

Barang kali sudah tiba waktunya, di saingan ini pasukan negara perlu melenyapkan kata-kata sumbang yang dilemparkan kepada mereka. Kritikan perlu ditukar dengan persembahan menarik dan kejayaan.

Tamparan pahit yang dihadapi FAM dengan pelbagai dakwaan juga dilihat boleh ditangani dengan kejayaan pasukan negara.

Seperti kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abdu Bakar, beliau yakin Harimau Malaya mempunyai peluang dan menang ke atas Palestin.

Beliau turut melihat prospek kemenangan itu dengan sentuhan magis Kim Swee megambil alih dan berjaya mengendalikan disiplin dan persembahan pemainnya.

Berbanding Palestin, Malaysia kini menduduki tangga keempat daripada lima pasukan dalam kumpulan A dengan kutipan empat mata menerusi satu kemenangan, satu keputusan seri dan tiga kekalahan.

Sementara Palestin di kedudukan ketiga dengan satu kemenang, tiga seri dan satu kekalahan.

Malangnya Harimau Malaya tidak ada banyak pilihan kecuali menghalang pasukan itu diaibkan sekali lagi.