Barisan pemain Harimau Malaya bersedia untuk menentang Palestin malam ini selepas dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran di Amman, Jordan.

Kata jurulatih Datuk Ong Kim Swee, pihaknya enggan menafikan hakikat mereka mengalami kekalahan 0 - 6 pada pertemuan pertama dengan skuad Palestin di Stadium Bukit Jalil 16 Jun lalu.

Bagaimanapun, aksi kelayakan kumpulan A Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 itu, katanya, mempunyai ciri perbezaan pada setiap perlawanan.

"Sudah pasti kami tidak mahu tewas lagi, lebih-lebih lagi dengan jaringan besar kerana ia sesuatu yang mengecewakan.

"Kami memandang ke hadapan untuk perlawanaan malam nanti, tapi diakui ia bukan mudah kerana pasukan Palestin cukup baik dengan kemampuan mereka mengikat UAE (Emiriah Arab Bersatu) dan seri tanpa jaringan dengan Arab Saudi," katanya.

Kena benar-benar berdisiplin

Ketika pertemuan pertama sebelum ini, skuad negara masih di bawah kendalian jurulatih Dollah Salleh yang turut menerima aib besar selepas dibolosi 10 gol ketika bertemu UAE.

Kekalahan itu menyebabkan Dollah mengambil tanggungajawab dengan melepaskan jawatannya.

Mengenai persiapa terakhir pada sesi latihan petang semalam, Kim Swee memberitahu, tidak banyak perbezaan dilakukan kerana dia yakin semua pemainnya sudah bersedia.

"Yang penting, kami perlu kekal fokus dan pemain benar-benar berdisiplin. Jika kami dapat dilakukannya, kami pasti boleh mencapai keputusan yang diinginkan," tegas Kim Swee.

Sementara itu, selepas lima perlawanan Arab Saudi berada di kedudukan teratas kumpulan A dengan 13 mata diikuti UAE (7), Palestin (6), Malaysia (4) dan Timor Leste (2).

Bagaimanapun perlu dinyatakan, UAE baru beraksi empat perlawanan.

Selepas berdepan Palestin, Malaysia akan ditentang UAE sekali lagi di Stadium Shah Alam, 17 November nanti untuk perlawanan keenam dan terakhir peringkat kumpulan.