Arsenal jadi mangsa amalan doping lawan
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, mendakwa banyak kelab bola sepak di Eropah membenarkan penggunaan bahan terlarang di kalangan pemain mereka.
Kenyataan Wenger itu dibuat berdasarkan pengalaman beliau sendiri sepanjang menjadi pengurus.
Arsenal dilihat mungkin menjadi 'mangsa' amalan itu apabila mereka tewas 1 - 2 ketika bertemu kelab Dinomo Zagreb dalam saingan Liga Juara-juara pada September lalu.
Selepas perlawanan itu, salah seorang pemain Zagreb, Arijan Ademi, didapati gagal dalam ujian doping.
Selama 30 tahun menjadi pengurus, kata Wenger, dia tidak pernah memberikan produk yang boleh meningkatkan keupayaan pemain kepada anak buahnya dan berbangga dengan disiplin sebegitu.
"Saya berbangga dengan hal itu, tetapi kami terpaksa bermain dengan banyak pasukan yang tidak berfikiran begitu," kata Wenger seperti dilaporkan The Guardian , semalam.
Tuntut uji darah juga
Wenger yang pernah mengemudi Arsenal mencatat sejarah tidak pernah kalah sepanjang musim pada 2003 /2004 berkata, keindahan dalam sukan adalah semua pihak yang terlibat mahukan kemenangan tetapi yang unggul pada akhirnya hanyalah satu.
"Sepuluh tahun kemudian, kami menyedari ada pihak yang melanggar peraturan. Selama itu juga, naib juara yang menjadi mangsa," jelas jurulatih dari Perancis itu.
Ini bukanlah kali pertama Wenger melontarkan kritikan keras terhadap isu doping.
Dua tahun lalu, beliau juga membantah pertauran doping yang hanya diuji melalui air kencing.
Bagaimanapun, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) tidak mengendahkan pandangan Wenger yang mencadangkan supaya ujian melalui darah turut dilakukan.

